Maritim Malaysia tunda 'kapal hantu' seberat 293 tan hanyut di perairan Terengganu - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tunda ‘kapal hantu’ seberat 293 tan hanyut di perairan Terengganu

KAPAL 'hantu' yang dijumpai hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu, kelmarin, berjaya ditunda dalam satu operasi penyelamatan secara bersepadu dengan dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia. - FOTO IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah ‘kapal hantu’ seberat 293 tan yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu, kelmarin, berjaya dikawal dalam operasi penyelamatan bersepadu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang.

Pengarah Maritim Malaysia Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kapal terbabit kini ditunda menuju ke Kemaman Supply Base (KSB) dan dijangka tiba pada hari esok.

Menurutnya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menerima laporan daripada MRSC Johor pada pukul 4.45 petang, Selasa lalu tentang pengesanan kapal hanyut itu yang berada kira-kira empat batu nautika di timur pelantar berkenaan.

“Operasi yang dikoordinasikan Maritim Malaysia itu turut mendapat bantuan aset udara jenis Dauphin AS 365 N3 untuk membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM).

“Dalam masa yang sama turut mendapat bantuan pasukan dari Malaysia Petroleum Management (MPM), Petronas, Petronas Carigali Sdn. Bhd., Vestigo Petroleum Sdn. Bhd., Jadestone Energy (Malaysia) dan Jasa Merin (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menyelesaikan operasi ,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kapal hantu tersebut dipercayai hanyut sehingga melepasi kawasan pelantar minyak dan berisiko kerana boleh mengancam keselamatan pelantar lain yang ada di sekitarnya.

“Pasukan STAR Team berjaya merapat ke kapal berkenaan pada pukul 6.58 petang, semalam dan memasang tali tunda ke Kapal JM Purnama milik Jasa Merin dan kemudiannya memulakan penundaan. Sebaik tiba di KSB nanti, pemeriksaan terperinci akan dilakukan termasuk siasatan identiti kapal serta aduan berhubung kemungkinan terdapat mangsa di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, Mazlan turut memaklumkan, kejadian ini dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden sebuah kapal tangki yang terbakar di perairan Tanjung Sedili, 7 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN