JERANTUT: Lebih 3,000 Jalur Gemilang berkibar megah di Felda Jengka 24 di sini hasil inisiatif penuh semangat warga peneroka yang sanggup mengeluarkan dana sendiri demi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, walaupun tiada pertandingan dianjurkan, penduduk tetap bertekad memeriahkan kawasan mereka dengan bendera kebanggaan negara.
Menurutnya, Jalur Gemilang dipasang di laluan masuk tanah rancangan itu, blok-blok penempatan dan pelbagai lokasi strategik lain di situ.
“Semangat patriotisme dalam kalangan penduduk amat luar biasa, melibatkan semua peringkat usia dari kanak-kanak hingga warga emas.
“Tahun ini, mereka berjaya mengumpul dana sendiri untuk membeli dan memasang kira-kira 3,000 bendera. Beberapa tahun lalu, FELDA Jengka 24 pernah mencatat sejarah dengan pemasangan sehingga 10,000 Jalur Gemilang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Razak berkata, pemasangan bendera Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan, tetapi lambang maruah dan kedaulatan negara yang perlu dijaga.
Beliau turut mengingatkan agar Jalur Gemilang dipasang dengan betul dan tidak terbalik.
“Bendera adalah maruah, kedaulatan sebuah negara yang perlu di jaga. Ia juga lambang perjuangan pemimpin terdahulu untuk dihayati oleh semua pihak,” tegasnya. – UTUSAN