SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor merekodkan sebanyak 2,233 pendatang asing tanpa izin (PATI) diambil tindakan termasuk dikompaun, didakwa di mahkamah dan diusir dari negara ini atas pelbagai kesalahan dari awal tahun ini sehingga Julai lalu.
Ia merupakan sebahagian daripada 3,367 warga asing termasuk pekerja diperiksa dan hanya 1,134 dibebaskan selepas disahkan mempunyai dokumen perjalanan dan permit pekerjaan.
Malah, Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, sehingga 15 Ogos lalu, Petaling dan Klang mencatatkan jumlah tertinggi pemeriksaan warga asing menerusi pelbagai operasi iaitu 2,208 dan 625 orang.
Menurutnya, PATI warga Indonesia paling ramai didakwa di mahkamah apabila melibatkan seramai 387 orang, diikuti 245 warga Bangladesh, India (114), Pakistan (81), Nepal (41), Myanmar (28), Sri Lanka (18), Nigeria (lapan) dan Thailand (tujuh).
Katanya, bagaimanapun, akhir-akhir ini tangkapan warga asing dari Myanmar menunjukkan peningkatan akhir-akhir ini apabila seramai 655 tahanan Rohingya di Depot Imigresen Semenyih berbanding 123 warga Indonesia dan 98 Bangladesh.
“Myanmar sebenarnya melibatkan etnik Rohingya. Dahulu tangkapan warga Myanmar tak sampai ratusan tahanan dan pengusiran atau penghantaran pulang cepat dilakukan.
“Yang itu (Rohingya) lambat sedikit (penghantaran pulang) sebab melibatkan dokumentasi dan pengesahan daripada kedutaan. Tetapi, kalau lambat ada masa boleh sampai berbulan-bulan,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Hi Tea bersama Pengamal Media, semalam.
Jelas Khairrul Aminus, dalam program Repatriasi Migran, seramai 4,857 PATI warga Indonesia dihantar pulang, diikuti 2,382 warga Bangladesh, India (1,744) dan Myanmar (722).
Katanya, malah rekod kekerapan penghantaran pulang PATI melalui pengangkutan udara sehingga Julai lalu menunjukkan warga Indonesia dan Myanmar antara yang paling ramai iaitu 393 dan 227 orang.
Ujarnya lagi, JIM Selangor bersedia dengan pasukan risikan bagi mengesan keberadaan PATI di seluruh negeri sekali gus menolak dakwaan mengatakan terdapat pendatang asing yang tidak kembali ke negara asal mereka.
“Sebagai contoh dakwaan mengatakan masih ada pendatang warga China yang masih tinggal di sini, semuanya sudah pun keluar (pulang). Itu boleh disahkan melalui Kedutaan Besar China.
“Tetapi kalau ada maklumat berkaitannya boleh disalurkan kepada kami. Kita pun ada pasukan intelligence untuk mengesan warga asing yang disyaki tinggal lebih masa, menyalahgunakan permit pekerjaan atau masuk ke negara ini secara haram,” tambahnya. – UTUSAN










