Keluarga rayu inkues, AGC teliti kertas siasatan

Keluarga rayu inkues, AGC teliti kertas siasatan

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga Allah­yarham Zara Qairina Ma­­ha­thir merayu kepada Ja­batan Peguam Negara (AGC) su­paya satu inkues diadakan un­­tuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah da­lam kes kematian pelajar sekolah agama di Papar, Sabah.

Mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat, Peguambe­la dan Peguamcara Hamid Is­mail dan Shahlan Jufri ber­kata, pihaknya berharap Pe­­guam Negara dapat melak­sa­na­kan kuasa di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah mengarahkan majis­tret adakan inkues itu.

Katanya, ia susulan pihak­nya menegaskan terdapat kelemahan dan kepinca­ngan serius dalam laporan sia­satan diterima AGC me­nerusi laporan penuh siasatan awal PDRM berhubung kematian pelajar tersebut.

“Siasatan yang dijalankan adalah kecil skopnya dan terhad fokusnya kerana bedah siasat tidak dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengkebumiannya. Pakaian dan barang peribadi dipakainya semasa ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai 2025 tidak diambil oleh polis untuk tujuan siasatan.

“Keterangan anak guam kami berkenaan kesan lebam di bahagian belakang Zara hanya diambil pada petang 3 Ogos dan petang 4 Ogos di Balai Polis Sipitang.

“Kami percaya polis tidak mempunyai material yang cukup untuk menyiasat secara efektif perkara ini kerana mereka tidak mempunyai laporan bedah siasat, pakaian dan barang peribadi Zara.

Apatah lagi wujudnya kekangan masa untuk menyiasat kerana laporan kes siasatan dihantar pada 4 Ogos di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Menurut kenyataan itu lagi, terdapat penularan isu ‘plot twist’ sejak minggu lepas di beberapa platform media sosial kononnya kematian Zara adalah akibat tekanan perasaan oleh ibunya sendiri memberi indikasi seolah-olah berlaku kebocoran kepada fail siasatan.

Katanya, kertas yang dikatakan ‘diari’ milik Zara adalah sumber penularan tersebut sehingga ia dilabel sebagai ‘bukti berjisim’.

“Jika kertas itu adalah sebahagian daripada barang peribadi Zara yang diambil dari lokarnya di asrama oleh polis selepas kematiannya, itu bermakna seseorang telah membocorkan isi kandungan fail siasatan kepada umum bagi membina naratif jahat dan persepsi negatif terhadap Zara dan ibunya. Akibatnya, integriti siasatan telah tergugat,” katanya.

Oleh demikian, pihaknya memaklumkan bahawa satu surat telah diutuskan kepada Peguam Negara untuk memohon dan merayu supaya kertas siasatan dikembalikan kepada PDRM dan siasatan dibuka semula serta dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.

“Kubur Zara digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.

“Anak guam kami tidak mengharapkan kemenangan dalam siasatan. Dia hanya mahukan keadilan bagi anaknya, Zara. Dia sentiasa bersedia untuk membantu polis dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan untuk mendakwa atau sebaliknya berhubung kes kematian Zara Qairina.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, tempoh yang diambil sebelum keputusan untuk mendakwa dibuat bergantung kepada keadaan dan kerumitan sesuatu kes.

“Ia bergantung kepada keadaan dan kerumitan sesuatu kes lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan kes yang serius serta berkepentingan awam.

“Pelbagai aspek wajar diteliti dan diambil kira sebelum sesuatu keputusan boleh dicapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN