PETALING JAYA: “Dah berapa tahun kes ini, kalau asyik nak ungkit sampai bila pun tak selesai.”
Demikian respons pelakon, Sophia Albarakbah selepas bertubi-tubi menerima kecaman netizen yang mengaitkan kontroversi lampaunya yang didakwa menjadi punca rumah tangga penyanyi, Bella Astillah dan Aliff Aziz retak.
Menurut Sophia, isu tersebut tidak akan selesai selagi ada pihak yang mengungkit bahkan, menghukumnya tanpa perikemanusiaan atas khilaf yang pernah dilakukan.
“Sedangkan Allah pun boleh ampunkan Hamba-Nya, awak sekerdil, sejijik manusia kenapa angkuh sangat?,” tulisnya.
Sophia berkata demikian membalas komen netizen yang menyifatkannya tersilap langkah kerana pernah menjadi perosak rumah tangga Bella dan Aliff pada awal 2023.
“Kalau dia pandai jaga diri dan mahalkan diri, memang akan bersinar-sinar. Tapi sayang, dia memang lawa tapi tersilap langkah dan dia tidak akan lalui apa yang terjadi itu sekarang,” komen seorang netizen.
Sebelum ini, kontroversi melibatkan Sophia dan Bella kembali menjadi perbualan hangat selepas penyanyi lagu Lebih Indah Berpisah itu dilihat kekok ketika menyerahkan trofi kepada aktres tersebut pada malam Anugerah Melodi Terhangat 2025, malam tadi.
Sophia yang memenangi kategori Selebriti Feminin Terhangat itu bagaimanapun mengakui tidak berkecil hati atau terasa disindir dengan tindakan Bella yang dikatakan masih trauma dengan kontroversi lalu. -UTUSAN