Jenazah empat sekeluarga nahas di Gua Musang dikebumikan dalam satu liang lahad - Utusan Malaysia

Jenazah empat sekeluarga nahas di Gua Musang dikebumikan dalam satu liang lahad

JENAZAH salah seorang mangsa kemalangan maut di Gua Musang dibawa turun ke dalam liang lahad untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kubang Bemban, Pasir Mas, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Jenazah empat sekeluarga yang meninggal dunia dalam kemalangan Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang dekat sini selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mukim Kubang Bemban di sini pada pukul 12 tengah malam.

Jenazah Muhammad Faiz Nor Amran, 32, bersama dua anak, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, dan adiknya, Nor Aina Imra, 21, tiba di pekarangan surau Padang To’ La di sini pada pukul 10.40 malam.

Kira-kira 400 jemaah hadir menyempurnakan solat jenazah yang diimamkan oleh sepupu arwah Muhammad Faiz, Nor Alif Amran sebelum keempat-empat jenazah dibawa ke tanah perkuburan kira-kira pukul 11.12 malam.

Suasana sedih menyelubungi pekarangan tanah perkuburan dengan kehadiran lebih 500 orang termasuk ahli keluarga dan orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah.

Ibu arwah kepada arwah dua beradik itu, Shahima Hamid, 54, yang kelihatan sunggul sepanjang pengkebumian itu.

Sebelum itu Utusan Malaysia melaporkan nahas yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 Gua Musang dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki kesemua mangsa terbabas sebelum bertembung sebuah treler.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, penumpang kereta jenis Honda Civic EK, Muhammad Faiz dua anaknya, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, termasuk adik kepada Muhammad Faiz, Nor Aina Imra meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri Muhammad Faiz iaitu Tuan Norsyuhada Mohd. Zain, 23, yang merupakan pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit.

Mereka sekeluarga menyertai Himpunan Pemilik Kereta Honda di Sepang, Selangor pada Sabtu lalu dalam perjalanan dari Lembah Klang untuk pulang ke Pasir Mas.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN