GUA MUSANG: Walaupun hidup serba sederhana di pedalaman, penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Redip, Pos Hau tetap menzahirkan kecintaan kepada negara walaupun terpaksa menabung demi Jalur Gemilang.
Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, penduduk di kampung itu sepakat mengumpul wang hasil menoreh getah dan bekerja kampung untuk membeli bendera serta menganjurkan pelbagai aktiviti patriotik.
Bagi mereka, Jalur Gemilang bukan sekadar sekeping kain, tetapi lambang maruah dan kebebasan tanah air.
Seorang penduduk, Suzi Semai, 31, berkata, usaha itu sudah menjadi tradisi bagi memastikan anak-anak mereka membesar dengan semangat kebangsaan yang utuh.
“Biarpun jauh dari bandar, kami mahu merasai suasana meriah seperti orang lain. Setiap rumah dipasang bendera manakala malam ambang kemerdekaan diadakan nyanyian lagu patriotik dan sukaneka,” katanya.
Seorang lagi penduduk Jela Along, 49, berkata, dia menggunakan hasil titik peluh menoreh getah untuk disumbangkan ke dalam tabung kampung demi menyemarakkan semangat kebangsaan.
“Kami sedar nikmat keamanan hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin dan pejuang terdahulu,” ujarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Hau, Jumaat Arom, berkata, setiap tahun hampir RM500 dikumpul untuk membeli bendera dan menganjurkan pelbagai aktiviti.
Katanya, sambutan itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim malah memberi kefahaman kepada generasi muda tentang erti kemerdekaan.-UTUSAN