KANGAR: Atlet dari Majlis Sukan Sekolah (MSS) Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira bangkit kembali meraih gelaran Olahragawati dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Perlis kali ke-65.
Remaja 17 tahun itu yang dinobatkan Olahragawati pada kejohanan MSSM 2023 tidak dapat beraksi dalam kejohanan tahun lalu selepas dibelenggu masalah kecederaan.
Dalam kejohanan kali ini, dia bangkit penuh sensasi apabila berjaya memecahkan empat rekod kejohanan iaitu bagi acara 100, 200, 4×100 dan 4×400 meter perempuan bawah 18 tahun.
Izzatul Musfirah berkata, dia sememangnya amat gembira apabila dapat meraih semula gelaran itu memandangkan ini merupakan penampilan terakhirnya dalam temasya kejohanan MSSM.
“Saya juga berharap anugerah yang diraih ini dapat memberi suntikan buat anak-anak muda untuk bangkit dalam bidang sukan selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Izzatul Musfirah berkata, dia sememangnya berazam dan mempunyai misi untuk memecahkan rekod serta meraih pingat buat kontinjen Terengganu pada edisi kali ini.
Bagaimanapun, dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi sebaliknya memberi fokus bersaing dalam setiap acara.
“Buat masa ini, saya juga perlu membahagikan masa dengan sebaiknya memandangkan pada tahun ini saya akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Keputusan peperiksaan percubaan saya juga agak baik apabila berjaya mendapat 9A dan saya akan cuba seimbangkan antara pelajaran dengan sukan. Memang kena berkorban sikit tapi saya akan cuba seimbangkan agar cemerlang dalam kedua bidang ini,” katanya.-UTUSAN