GUA MUSANG: Suasana pilu dan hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik Perubatan Hospital Gua Musang di sini apabila ahli keluarga menuntut jenazah empat mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini hari ini.
Lebih meruntun hati, mangsa yang terselamat, pemandu kereta jenis Honda Civic EK, Tuan Nor Syuhada Mohd. Zain, 23, yang sudah sedar dibawa ke pekarangan Jabatan Forensik untuk melihat jenazah suami dan dua anaknya.
Terdahulu, proses bedah siasat selesai pada pukul 7.15 malam dan pengurusan mayat empat mangsa yang maut dalam kejadian nahas selesai kira-kira pukul 7.32 malam tadi.
Kesemua jenazah mangsa yang disolatkan kemudian diserahkan kepada keluarga untuk proses pengebumian.
Nor Amran Mat Nor, 58, yang merupakan bapa kepada Muhammad Faiz, 32, dan Nor Aina Imra, 21, bersyukur apabila proses bedah siasat dan pengurusan jenazah selesai.
Katanya, jenazah akan dikebumikan dalam satu kubur di Kampung Padang To’ La, Pasir Mas dekat sini tengah malam ini.
“Alhamdulillah, kami reda ketentuan Allah SWT dengan kehilangan seorang anak lelaki dan anak perempuan tunggal.
“Kita akan kebumikan jenazah malam ini juga di dalam satu kubur. Perjalanan ke Pasir Mas dijangka memakan masa selama tiga jam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, proses bedah siasat bermula pukul 4.50 petang dan selesai pada pukul 7.15 malam tadi.
Katanya, pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang ditugaskan untuk mengiringi jenazah sehingga ke Kuala Krai bagi melancarkan urusan perjalanan penghantaran jenazah ke Pasir Mas.
Utusan Malaysia hari ini, empat sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung sebuah treler di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, penumpang kereta jenis Honda Civic EK, Muhammad Faiz, dua anaknya, Muhammad Aryan Fattah, 5, dan Muhammad Ayden Fattah, 4, termasuk adik kepada Muhammad Faiz, Nor Aina Imra meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri Muhammad Faiz iaitu Tuan Norsyuhada Mohd. Zain, 23, yang merupakan pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan dada akibat tersepit.-UTUSAN