KUALA LANGAT: Keluarga pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi yang meninggal dunia pada 13 November tahun lalu memohon prosiding inkues bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mahasiswa berkenaan.
Malah, permohonan menggali semula kubur arwah juga akan dibuat bagi tujuan tersebut sebagaimana inkues terhadap kes pegawai kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin dan pelajar tingkatan satu di Sabah, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Peguam mewakili keluarga dari Tetuan Chambers of Aminahtul Mardiah, Tun Laila Tun Rafaee berkata, ahli keluarga mangsa percaya terdapat kecuaian tidak dijawab serta bertentangan dengan dapatan polis yang mengatakan punca kematian akibat daripada strok haba dan menjurus kepada kegagalan pelbagai organ.
Menurutnya, kecuaian berlaku ketika sesi latihan pada 10 November apabila allahyarham didakwa ditinggalkan sekurang-kurangnya 20 minit selepas rebah di tengah-tengah padang kawat ketika cuaca panas sebelum dipindahkan dan dibiarkan sehingga 30 minit lagi sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Selaras dengan kehendak anak guam, kami akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini untuk membolehkan bedah siasat dilakukan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Malah, peguam dari firma sama, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor mendakwa, terdapat kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor pada Januari lalu yang mengatakan bedah siasat terhadap allahyarham sudah dilakukan dan mengklasifikasikan insiden sebagai kematian mengejut (SDR).
“Itu mengelirukan, bedah siasat tidak pernah dibuat. Itu adalah maklumat yang salah. (Yang) Masyarakat tahu, kes itu sudah ditutup sebab maklumat yang diberikan berdasarkan siasatan polis itu tiada unsur jenayah dan tiada tindakan lanjut. Itu tidak adil untuk keluarga.
“Keluarga tidak dimaklumkan, persetujuan untuk membuat bedah siasat pun tidak dinyatakan. Kita hendak gesa perkara-perkara itu (bedah siasat dan inkues) dibuat bagi memastikan ada jalan penyelesaian,” jelasnya.
Pada 4 Disember tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan Ketua Polis Selangor ketika itu, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu polis menyerahkan kertas siasatan kepada Mahkamah Koroner bersama laporan bedah siasat dan makmal.
Namun, pada 3 Januari lalu, Hussein mengesahkan tiada kesalahan jenayah dikesan terhadap kematian Muhammad Amir Rusyaidi, 25, selepas pendakwa raya memaklumkan tiada sebarang kesalahan, beliau kemudian memutuskan kes selesai dengan keputusan tiada kesalahan jenayah oleh mana-mana pihak.
Nur Aminahtul Mardiah berkata, anak guamnya juga meminta tindakan saman sivil diambil terhadap pihak yang terlibat dengan menamakan seorang jurulatih berpangkat koperal sebagai responden pertama selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Kami sudah pun mendapat keterangan daripada 57 individu terdiri daripada rakan-rakan, senior serta orang lain yang berada di kawasan sekeliling padang kawad tersebut ketika kejadian.
“Ahli keluarga juga kesal kerana penyertaan arwah dalam Palapes hanya sebagai kokurikulum, namun terpaksa menjalani latihan fizikal berlebihan sebagai seorang anggota tetap, bukannya orang awam. Ia bertentangan dengan garis panduan latihan oleh TUDM,” tegasnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Zaidi Abdul Rahman memberitahu beliau kesal dengan pihak berkuasa kerana tidak memaklumkan sebarang perkembangan berhubung siasatan sebaliknya hanya diketahui melalui media.
Bahkan, dia turut mendakwa menunggu terlalu lama selain berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi seperti kesilapan tarikh-tarikh dan sebagainya daripada pihak Hospital Shah Alam (HSA) untuk mendapatkan laporan penuh kematian.
“Terlalu lama sehingga dua bulan selepas tarikh kematian arwah. Mula-mula kata dua minggu, kemudian tiba-tiba ada kesilapan pada tarikh-tarikh dan dibetulkan semula semua itu ambil masa terlalu lama,” luahnya.

Pada 28 November tahun lalu, kematian Muhammad Amir Rusyaidi dilaporkan berpunca daripada strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.
Mahasiswa tahun pertama jurusan Kejuruteraan Mekatronik UiTM Shah Alam itu dimasukkan ke hospital pada 10 November selepas rebah ketika menjalani latihan fizikal tidak berjadual serta penderaan secara fizikal termasuk dipijak di bahagian dada serta dipaksa melakukan aksi melompat seperti haiwan oleh jurulatihnya. – UTUSAN










