TAWAU: Seorang wanita berusia 36 tahun dan anak lelakinya berusia sembilan tahun meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri sebuah majlis kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 10.30 pagi 12 Ogos lalu daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan ibu saudara dan sepupunya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa menghadiri kenduri tersebut Sabtu lalu dan membawa pulang makanan yang dibungkus untuk suami mangsa. Kemudian, selepas makan suami mangsa turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak pagi Ahad hingga petang Isnin.
“Maklumat awal juga mendapati beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis berkenaan mengalami simptom sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar keracunan manakala Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut ke lokasi kejadian.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Tawau untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan mengesan sebarang unsur lain.
“Bedah siasat selesai dijalankan pukul 6.30 petang dan mendapati tiada kesan kecederaan pada kedua-dua mangsa,” jelas Champin.
Tambah beliau lagi, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan saksi lain yang turut menghadiri kenduri berkenaan bagi mengesahkan sama ada mereka mengalami simptom serupa.
Barang kes yang berkaitan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.-UTUSAN.










