Hadkan umur pemandu warga emas tidak wajar

Hadkan umur pemandu warga emas tidak wajar

DR. LAW TEIK HUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penetapan had umur maksimum untuk meme­gang lesen memandu di Malaysia tidak wajar dilaksanakan kerana tahap keupayaan fizikal dan mental individu warga emas berbeza antara satu sama lain.

Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, ini kerana terdapat warga emas yang masih cergas dan mampu memandu dengan selamat, manakala terdapat individu lebih muda berdepan masalah kesihatan hingga menjejaskan keupayaan pemanduan.

Beliau berkata, langkah lebih tepat adalah menilai tahap kesihatan dan kemahiran pemandu secara individu, bukannya hanya berdasarkan umur.

Katanya, pemeriksaan kesihatan berkala wajar diwajibkan kerana faktor seperti penglihatan, pendengaran, refleks dan fungsi kognitif lazimnya menurun de­ngan usia sekali gus boleh mengundang risiko terhadap ke­selamatan jalan raya.

“Ujian kesihatan tahunan atau dwi-tahunan dapat memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dari segi kesihatan dibenarkan meneruskan pemanduan.

“Langkah ini bersifat pencegahan, bukan menghukum. Ia memberi peluang kepada warga emas mengenal pasti kelemahan lebih awal dan mengambil langkah pembetulan seperti memakai cermin mata atau menukar ubat yang menyebabkan rasa mengantuk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, jumlah kematian pemandu berusia 61 tahun ke atas yang tinggi akibat kemalangan jalan raya menimbulkan persoalan sama ada mereka layak atau sebaliknya untuk terus memandu.

Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 7,000 kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan peringkat umur itu direkodkan dalam tempoh enam tahun sejak 2019 hingga 2024.

Bagi tempoh berkenaan, sera-mai 19,812 pemandu warga emas dalam usia berkenaan, dilaporkan terlibat kemalangan jalan raya, sekaligus mengundang kebimbangan banyak pihak khususnya PDRM.

Teik Hua berkata, syarat tambahan seperti ujian memandu semula, ujian reaksi pantas dan penilaian kesihatan menyeluruh sebelum pembaharuan lesen juga boleh membantu menapis pemandu berisiko tinggi.

Menurut beliau, larangan menyeluruh berdasarkan umur boleh menjejaskan kebebasan bergerak warga emas terutama di kawasan luar bandar yang terhad pilihan pengangkutan sekali gus berisiko menyebabkan pengasingan sosial atau kesukaran mengurus urusan harian.

“Pendekatan paling adil adalah memperketat penilaian kesihatan dan kemahiran pemanduan, bukannya melarang secara auto­matik selepas umur tertentu,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelidik Utama Pusat Pemanduan Bijak, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, kerajaan wajar me­laksanakan mekanisme penilaian keupayaan memandu bagi warga emas khususnya selepas umur 60 atau 65 tahun.

Menurut beliau, antara cadangan mekanisme itu termasuk ujian kesihatan berkala selepas umur tertentu untuk menilai tahap kesihatan fizikal dan mental dan tempoh pembaharuan lesen dipendekkan daripada lima tahun kepada dua tahun bagi warga emas supaya penilaian dapat dilakukan dengan lebih kerap.

“Ujian memandu ringkas bagi menguji kemahiran pemanduan, pematuhan undang-undang jalan raya dan keupayaan membuat keputusan di jalan raya.

“Kadang-kadang warga emas ada masalah penglihatan atau kelewatan memberi isyarat membelok. Melalui ujian ini, kita boleh menilai sama ada mereka masih kompeten untuk memandu,” katanya.

Tambahnya, syarat tambahan seperti ujian kesihatan dan pemanduan semula dapat me­ngurangkan risiko kemalangan dan memberikan jaminan ke­selamatan kepada keluarga serta masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×