FlexiParking catat 461,265 transaksi caj parkir di seluruh negara

FlexiParking catat 461,265 transaksi caj parkir di seluruh negara

FlexiParking
MOHAMMAD Fahmi Ngah (tengah) bergambar bersama Lai Thiam Sin (lima, kanan), pengurusan LITS dan tetamu yang hadir pada Majlis Penerimaan Sijil MBOR, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Syarikat pengurusan kemudahan parkir dalam talian FlexiParking, Leading Innovative Technologies and Systems (LITS) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Records (MBOR) apabila mencatatkan 461,265 transaksi caj letak kereta pada 7 Mei lalu.

Malah, syarikat itu turut menerima pengiktirafan sebagai sistem paling banyak libatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara iaitu sebanyak 46 PBT di seluruh negara.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, di Selangor, FlexiParking oleh LITS bersama Rantaian Mesra Sdn. Bhd. (RMSB) dan 11 PBT merekodkan secara purata lebih 100,000 transaksi caj parkir setiap hari.

“Kita ada FlexiParking Selangor dan Smart Selangor Parking yang juga aplikasi menggunakan sistem FlexiParking. Sementara nilai kutipan sehari di seluruh negara pula sekitar RM800,000 hingga RM1 juta,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penerimaan Sijil MBOR oleh LITS, hari ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif LITS, Lai Thiam Sin, kutipan caj parkir di semua kawasan termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya semakin meningkat setiap hari terutama pada musim cuti.

“Di luar musim cuti, pengguna pas bulanan menggunakan kemudahan tersebut, tetapi ketika musim cuti ramai yang keluar. Jadi, boleh lihat pada 7 Mei lalu transaksi agak tinggi,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, Thiam Sin menerima sijil daripada Pegawai Rasmi MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah sambil disaksikan oleh Mohammad Fahmi.

Sementara itu, Mohammad Fahmi memaklumkan penguatkuasaan dan keselamatan di kawasan parkir akan diperketatkan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri ini.

“Kalau setakat ini kada kadar purata di seluruh Selangor hanya pada tahap 50 peratus dan selebihnya tidak dikutip berikutan ada orang yang tak bayar parkir kalau tak ada penguatkuasaan.

“Jadi, kita mahu kaedah penguatkuasaan yang lebih kemas, seragam dan teratur. Cadangan daripada pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), kita dapati teknologi kamera boleh menjamin penguatkuasaan yang lebih baik,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN