GUA MUSANG: Empat maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, empat mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita serta dua kanak-kanak maut di lokasi selepas tersepit.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Nik Mohd. Fakri Md. Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.07 pagi dan tiba di lokasi kejadian 27 minit kemudian.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi anggota bomba mendapati terdapat lima mangsa masih tersepit manakala pemandu treler selamat.
“Mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dan mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi hari ini. – UTUSAN