Dua anggota Imigresen KLIA direman tujuh hari, terima rasuah RM400,000 - Utusan Malaysia

Dua anggota Imigresen KLIA direman tujuh hari, terima rasuah RM400,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua anggota Jabatan Imigresen Malaysia yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) direman tujuh hari sehingga 26 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kira-kira RM400,000 sejak 2022 hingga 2024.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Wahidah Zainal Abidin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan.

Kedua-dua suspek yang berjawatan Gred KP1 dan KP2 ditahan dalam satu operasi serentak sekitar Nilai dan Johor Bahru, pada Isnin lalu.

Tangkapan ini adalah susulan daripada operasi SPRM sebelum ini bagi membanteras sindiket ‘counter setting’ di KLIA 1 dan 2 yang dipercayai meraih wang rasuah ratusan ribu ringgit bagi membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di pintu masuk negara sejak 2022 hingga 2024.

SPRM turut merampas sejumlah wang tunai dan membekukan beberapa akaun bank milik suspek.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd. Shukor Mahmud mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain dalam sindiket berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN