Daz Bikers semarakkan sambutan Hari Kebangsaan Pahang, pelumba cilik curi tumpuan - Utusan Malaysia

Daz Bikers semarakkan sambutan Hari Kebangsaan Pahang, pelumba cilik curi tumpuan

KELAB motosikal berkuasa tinggi, Daz Bikers menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Pahang diserikan dengan kehadiran 28 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Daz Bikers yang menghidupkan suasana patriotik melalui konvoi berwarna-warni dan semangat kenegaraan.

Paling mencuri tumpuan dan memukau kehadiran pengunjung, pelumba mini MotoGP cilik, Dayyan Adam Zafri Muhammad Farid Ariffin yang mewakili Pahang dari kelab motosikal tersebut.

Konvoi motosikal berkenaan diketuai penaung Daz Bikers, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir.

Zuhairi berkata, Daz Bikers memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan di Pahang menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 peringkat negeri bersama Jabatan Penerangan Pahang selama tiga hari bermula 12 Ogos lalu.

Beliau berkata, konvoi sejauh 600 kilometeri tu menjelajah lima daerah di Pahang, membabitkan 13 kenderaan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri dengan penyertaan lebih 100 peserta termasuk daripada Persatuan Kebajikan Radio Amatur Ukhwah (KRAM).

“Penyertaan Daz Bikers dalam Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 bukan sekadar konvoi motosikal berkuasa tinggi, tetapi satu manifestasi semangat patriotisme yang tulen. Dalam program itu, kami menyampaikan barangan keperluan harian kepada 50 penerima di Kampung Orang Asli Kuala Boh, Cameron Highlands. Kami turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada veteran tentera di Sungai Koyan.

“Pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 hari ini, seramai 26 penunggang Daz Bikers terlibat yang merupakan bukti komitmen berterusan kami terhadap semangat patriotisme dan perpaduan. Dari Kembara Merdeka Jalur Gemilang hingga ke pentas sambutan rasmi negeri, Daz Bikers tampil bukan sekadar sebagai kelab motosikal, tetapi duta semangat kebangsaan yang menggerakkan jiwa rakyat.

“Kami percaya bahawa kemerdekaan bukan hanya untuk dikenang, tetapi untuk dihayati dan dizahirkan melalui tindakan. Kehadiran kami adalah simbol kesatuan, keberanian dan kesetiaan kepada negara,” katanya di sini hari ini.

DAYYAN Adam Zafri Muhammad Farid Ariffin mencuri tumpuan pengunjung apabila menunggang motosikal mini pada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat negeri Pahang di Kuantan, Pahang.

Zuhairi berkata, sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab Daz Bikers untuk menyemai semangat kenegaraan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Daz Bikers komited untuk terus menyokong inisiatif sebegini yang menyatukan rakyat pelbagai latar belakang dalam satu misi kebangsaan. Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi perjalanan jiwa yang mengingatkan kita tentang erti kemerdekaan dan perpaduan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN