Daki bukit, bermalam di hutan selamatkan pekerja selanggara TNB - Utusan Malaysia

Daki bukit, bermalam di hutan selamatkan pekerja selanggara TNB

ANGGOTA bomba mengusung keluar mangsa yang cedera untuk dibawa ke Hospital Machang, Kelantan.-IHSAN BOMBA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang terpaksa berjalan, mendaki bukit serta bermalam di dalam hutan demi menyelamatkan nyawa seorang pekerja selenggara Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terseliuh kaki di Bukit Lata Gila, Temangan, di sini semalam.

Mangsa yang berusia 50 tahun terseliuh kaki selepas dipercayai tergelincir semasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bersama empat lagi rakannya.

Ketua BBP Machang Penolong Penguasa Bomba Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.15 petang dan terus ke lokasi bersama lima anggota untuk tugas menyelamat.

“Disebabkan laluan masuk berbukit, kami terpaksa berjalan kaki lebih kurang lima jam dan tiba di lokasi pukul 11 malam. 

“Disebabkan keadaan gelap dan berisiko tinggi, mangsa terlibat tidak dapat dibawa keluar pada malam tersebut,” ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ahmad Alfarra memberitahu, operasi menyelamat kembali disambung pada pagi tadi dan mangsa berjaya dikeluarkan sekitar jam 11.20 pagi.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Machang untuk pemeriksaan lanjut.

“Jumlah keseluruhan anggota yang terlibat dengan operasi ini ialah 14 anggota BBP Machang, Pasukan Bomba Sukarelawan (2) dan orang ramai (4),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN