SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhasrat untuk menggunakan khidmat pesara tentera dan polis sebagai warden di sekolah-sekolah bawah pentadbirannya seperti yang dilakukan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, cadangan itu dinyatakan menerusi mesyuarat antara Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menangani masalah buli di sekolah.
“Antara perkara kita akan cuba bincangkan kemungkinan untuk mengambil pegawai-pegawai keselamatan atau warden yang berpengalaman sebagai polis dan tentera.
“Mungkin kita boleh mempertimbangkan untuk mengambil mereka menjadi warden,” katanya pada sidang akhbar, semalam.
Katanya, selain cadangan tersebut, guru-guru juga perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti dan mendekati mangsa-mangsa buli agar lebih berani tampil membuat aduan insiden tersebut.
“Kalau kita tidak pesan kepada mereka bahawa boleh mengadu kepada guru dan diberikan perlindungan, mangsa-mangsa akan menjadi takut mengadu. Ini kerana mereka risau kesan kepada mereka selepas laporan dibuat,” ujarnya.
Salehuddin menambah, perkara pertama perlu dilakukan sebaik aduan diterima adalah pentadbiran sekolah mengasingkan mangsa dan pembuli.
“Ia kemudiannya disusuli tindakan displin atau dihantar ke sekolah berlainan. Saya percaya banyak para guru kreatif dalam menangani isu buli.
“Pihak sekolah perlu menyokongnya dan segera mengenal pasti kumpulan pembuli. Semua itu bagi mengelakkan kes-kes seperti bermaharajalela,” tegasnya. – UTUSAN










