Bom kereta gegar Tak Bai, tiga cedera

Bom kereta gegar Tak Bai, tiga cedera

ANGGOTA pasukan keselamatan Thailand memeriksa lokasi letupan bom kereta di pusat pemeriksaan di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai, Narathiwat, Thailand, kelmarin. – IHSAN POLIS THAILAND
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT: Tiga anggota Pa­sukan Pertahanan Sukarelawan (OSor) cedera dalam sera­ngan terbaharu bom kereta yang menyasarkan pusat pemeriksaan di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, tiga anggota yang cedera ialah Leftenan Kolonel Abdulmanas Nimu, 44; Mamasabri Mingyina, 40, dan Suhairi Jeh Sae, 38.

Jurucakap polis wilayah Na­rathiwat berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta Toyota Yaris menggunakan nombor pendaftaran Nakhon Si Thammarat, digunakan dalam sera­ngan itu.

“Siasatan menunjukkan kereta yang dipasang bom diletakkan di hadapan sebuah kedai perabot kira-kira 10 meter dari pusat pemeriksaan Salamai tanpa dimatikan enjin.

“Seorang lelaki keluar dari bahagian pemandu dan menaiki sebuah motosikal ditunggang rakannya. Kereta itu dibiarkan bergerak sendiri ke arah pusat pemeriksaan berkenaan.

“Ia kemudian diletupkan dipercayai menggunakan alat kawalan jauh setelah kereta itu melanggar guni pasir di pusat pemeriksaan berkenaan. Kekuatan letupan mencederakan tiga anggota OSor dan memusnahkan kereta itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jurucakap itu berkata, anggota pasukan keselamatan juga melepaskan tembakan ke arah dua pelaku tetapi mereka sempat melarikan diri.

Katanya, susulan kejadian itu pihak berkuasa mengepung kawasan berkenaan bagi membolehkan bahagian pemusnah bom dan unit forensik mengumpul bukti pagi semalam.

“Ini adalah serangan bom kereta kedua dalam tempoh hampir setahun yang berlaku di Daerah Tak Bai dan ketiga di Na­rathiwat tahun ini. Serangan bom kereta pertama berlaku ketika serangan ke atas Pejabat Daerah Sungai Golok pada 8 Mac lalu.

“Pada 29 September tahun lalu bom kereta menggegarkan bandar Tak Bai. Kekuatan letupan bom yang dianggarkan seberat 50 hingga 80 kilogram itu merosakkan beberapa premis, mencetuskan kebakaran yang memusnahkan kediaman penduduk tempatan dan mence­derakan dua anggota marin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×