BENTONG: Kerajaan negeri memulakan langkah proaktif membangunkan perumahan mampu milik berhampiran jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan pelancaran projek perintis Pangsapuri Pahangku di sini.
Majlis pecah tanah cadangan tapak di Taman Awam Ujana di sini disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang menyifatkan projek itu sebagai inisiatif memberi harapan baharu kepada anak muda memiliki kediaman strategik dan selesa.
Wan Rosdy berkata, projek tersebut dibina di atas tanah seluas 6.5 ekar berhampiran stesen ECRL Bentong, melibatkan empat blok pangsapuri dengan kira-kira 1,000 unit berkeluasan 900 kaki persegi setiap satu, menempatkan tiga bilik tidur.
“Bentong ini paling strategik, dekat dengan Kuala Lumpur, Kuantan dan bandar utama lain. Anak-anak kita boleh ulang-alik untuk bekerja atau belajar, sambil memiliki rumah sendiri pada harga berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Cadangan Tapak Pangsapuri Pahangku Daerah Bentong di Taman Awam Ujana, Bentong di sini hari ini.
Wan Rosdy menegaskan, Pahang merupakan negeri pertama melaksanakan projek perumahan berkonsepkan Transit-Oriented Development (TOD) berdekatan stesen ECRL, yang kemudiannya akan diperluas ke enam lokasi lain di Temerloh, Maran, Paya Besar, KotaSAS, Kuantan Port City (KPC) dan Cherating.
Beliau berkata, jajaran ECRL di Pahang adalah yang terpanjang di seluruh projek, meliputi 224 kilometer, sekali gus menjadikan kawasan sekitar stesen berpotensi besar dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan baharu.
Berdasarkan kajian Jabatan Statistik Negara, katanya, 63 peratus penduduk Bentong adalah golongan muda, sekali gus menjadikan projek ini sesuai untuk memenuhi keperluan demografi setempat.
“Rumah ini akan memberi peluang kepada golongan muda Pahang memiliki kediaman yang kondusif, lengkap kemudahan dan terletak di lokasi strategik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan harga jualan masih dalam peringkat penilaian tetapi memberi jaminan ia akan ditawarkan pada kadar mampu milik agar tidak membebankan pembeli. – UTUSAN