PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijadual di ibu negara hari ini, dijangka turut membincangkan isu penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak.
Selain itu, mesyuarat dijangka turut membincangkan penubuhan Pusat Kanser Sarawak dan keperluan infrastruktur kesihatan di negeri itu.
Mesyuarat juga dijangka membincangkan permintaan autonomi pendidikan oleh Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bukan soal menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Sarawak, sebaliknya memberi pertimbangan terhadap tahap autonomi yang sesuai.
“Autonomi pendidikan yang diminta itu bukan sepenuhnya, tetapi setakat mana yang boleh diberi, akan diputuskan dalam mesyuarat esok,” katanya selepas Program Bicara Eksekutif MADANI di Dewan Utama Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak, di Kuching, semalam.
Mesyuarat MA63 adalah platform utama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah untuk menyemak semula pelaksanaan hak-hak negeri berkenaan di bawah perjanjian pembentukan Malaysia.
Fadillah berkata, penggunaan bahasa Inggeris di Sarawak antara perkara utama yang akan dibentangkan oleh wakil Sarawak dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya, ia termasuk aspek dasar pendidikan yang menjadi kekangan utama pelaksanaan pengajaran menggunakan bahasa Inggeris ketika ini.
“Sudah tentu antara cabarannya adalah dasar nasional, khususnya dasar bahasa yang menetapkan keseragaman dalam sistem pendidikan negara,” katanya.
Fadillah berkata, perbincangan bagi mencari kaedah untuk memudahkan Sarawak melaksanakan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam bahasa Inggeris.
Katanya, antara pendekatan mungkin diambil adalah mengekalkan dasar sedia ada, pada masa sama memperkenal penambahbaikan atau pengkhususan tertentu untuk Sarawak.
“Kalau ada yang beralih terus daripada dasar kebangsaan, mungkin keseragaman pendidikan di peringkat nasional akan terjejas. Jadi, mungkin kita kekalkan dasar asas tetapi buat penambahan bersesuaian dengan keperluan Sarawak,” katanya.
Ditanya sama ada isu ini berkait program dwibahasa (DLP) yang sedang dilaksanakan di Sarawak, Fadillah tidak menolak kemungkinan perkara itu antara yang bakal diperhalusi dalam mesyuarat berkenaan. – UTUSAN










