Anggota polis cedera ditetak individu kurang siuman di Felda Bukit Kuantan - Utusan Malaysia

Anggota polis cedera ditetak individu kurang siuman di Felda Bukit Kuantan

LOKASI seorang anggota polis ditetak seorang lelaki dipercayai kurang siuman di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang anggota polis dari Balai Polis Panching mengalami kecederaan selepas ditetak oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan di sini petang semalam.

Kejadian berlaku sekitar pukul 5.30 petang apabila sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 berhubung tindakan seorang lelaki yang mengamuk bersenjatakan parang.

Semasa menjalankan tugas mententeramkan keadaan, seorang anggota, Koperal Mohd. Shafril Izzwan Ismail, 37, diserang oleh suspek dan mengalami kecederaan serius di bahagian belakang badan, dagu, serta jari tangan kiri.

Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dan kini dirawat di zon kuning.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 37 tahun, tidak bekerja dan dipercayai mengalami masalah mental. Tiada rekod jenayah lampau direkodkan terhadap suspek.

“Pihak polis sudah menahan suspek dan merampas beberapa bilah senjata tajam di lokasi kejadian. Suspek turut dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA bagi tujuan pemeriksaan kesihatan mental.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN