KUANTAN: Pelaksanaan Program Air Percuma Pahang 1st oleh kerajaan negeri disifatkan sebagai langkah prihatin terhadap keperluan asas rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Namun, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, kestabilan pentadbiran tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui pemberian subsidi, sebaliknya perlu merangkumi penyelesaian terhadap isu-isu struktur yang sudah lama membelenggu negeri ini.
“Kerajaan negeri perlu lebih berani menangani isu-isu akar umbi yang memberi kesan langsung kepada rakyat. Antara isu paling meruncing ialah pencerobohan tanah haram yang masih berleluasa di Pahang. Laporan menunjukkan lebih 14,000 hektar tanah kerajaan dan hampir 6,000 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) telah diceroboh untuk aktiviti pertanian tanpa kebenaran.
“Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan ekosistem negeri, malah mencabar kedaulatan undang-undang serta integriti pentadbiran. Titah Sultan Pahang yang menyifatkan pencerobohan tersebut sebagai perompakan terbuka terhadap khazanah negeri jelas menunjukkan betapa seriusnya ancaman tersebut,” katanya di sini.
Beliau mengulas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd. Kamil Ibrahim yang dilaporkan berkata, pelaksanaan Program Air Percuma Pahang 1st merupakan manifestasi jelas bahawa kestabilan pentadbiran negeri bukan sahaja berjaya dikekalkan, malah diterjemahkan dalam bentuk manfaat terus kepada rakyat.
Haslihelmy mendakwa, rakyat negeri ini turut berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Harga barang keperluan asas terus melonjak, manakala pendapatan ramai masih tidak menentu, khususnya golongan B40 dan M40 di kawasan luar bandar.
Beliau mendakwa, walaupun kerajaan negeri memperkenalkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) sejak 2020, jumlah bantuan yang diberikan masih tidak mencukupi untuk menangani kesan inflasi dan kenaikan harga sewa, makanan serta utiliti.
“Kestabilan sebenar bukan sekadar kemampuan memberi air percuma, tetapi keupayaan menyelesaikan masalah struktur yang telah berakar selama berdekad. Rakyat tidak hanya perlukan bantuan, mereka perlukan jaminan keadilan, ketelusan dan keberanian politik untuk menangani isu-isu yang lama tertangguh,” ujarnya.
Beliau menyeru agar kerajaan negeri menunjukkan kesungguhan dalam menangani pencerobohan tanah haram serta memperkukuh mekanisme penguatkuasaan. Pada masa sama, dasar ekonomi yang inklusif dan berasaskan realiti rakyat perlu digubal agar kesejahteraan dapat dirasai secara menyeluruh.
“Pahang berpotensi menjadi negeri contoh dalam pentadbiran dan pembangunan. Namun, ia hanya akan menjadi kenyataan jika kestabilan yang dicanang benar-benar diterjemahkan dalam bentuk penyelesaian kepada isu-isu akar umbi,” katanya. – UTUSAN