70 syarikat tempatan, antarabangsa minat melabur di Johor 

70 syarikat tempatan, antarabangsa minat melabur di Johor 

ONN Hafiz Ghazi bertemu Kim Yong dalam lawatan kerjanya ke Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) berjaya menarik minat 70 syarikat Singapura, China, Jerman, Britain, Belanda dan syarikat tempatan untuk  melabur di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, daripada jumlah itu, lima syarikat dari Singapura menyumbang nilai pelaburan sekitar RM1.34 billion.

“Pelaburan itu termasuk tambahan minat pelaburan berjumlah RM78 juta dalam fasa kedua,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi miliknya.

Terdahulu, beliau menerima anugerah Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) ke-82 semasa lawatan rasmi hari pertama ke Singapura hari ini dan bertemu Timbalan Perdana Menteri Singapura, Gan Kim Yong.

Onn Hafiz berkata, dalam pertemuan dengan Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Industri Singapura,  delegasi Johor turut berkongsi perkembangan terbaharu Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Katanya, pihaknya juga berbincang cadangan strategik seperti penubuhan Zon Perdagangan Bebas  (FTZ) dalam kawasan JS-SEZ, kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan serta cadangan membina laluan Sistem Transit Rapid (RTS) kedua di sebelah barat Johor.

“Lebih penting lagi, perbincangan turut menyentuh isu yang dekat di hati rakyat antaranya kos sara hidup, keperluan memperkukuh infrastruktur asas serta mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan inklusif.

“Saya nyatakan bahawa Johor bersedia melaksanakan dasar-dasar yang progresif, namun sentiasa peka terhadap impak kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambahnya, pertemuan tersebut turut membuka ruang penting untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Johor dan Singapura menerusi pelaksanaan JS-SEZ dalam bidang perdagangan, pelaburan dan transformasi ekonomi serantau.

“Kerjasama strategik ini mesti terus diperkasa demi menjayakan agenda pembangunan yang inklusif, adil dan lestari supaya tiada sesiapa pun yang tertinggal daripada arus kemajuan.

“Insya-Allah, Johor, Malaysia dan Singapura akan terus menjadi rakan serantau yang saling menguntungkan untuk masa depan yang lebih makmur,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN