68,000 kontraktor G1 disaran manfaat pembiayaan i-WCPF - Utusan Malaysia

68,000 kontraktor G1 disaran manfaat pembiayaan i-WCPF

NORHAMILA MOHD. DATAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kira-kira 68,000 kontraktor G1 di seluruh negara disaran untuk merebut peluang pembiayaan patuh syariah menerusi Skim Islamic Working Capital Financing Programme (i-WCPF) yang disediakan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar berkata, inisiatif ini merupakan pendekatan strategik dan proaktif oleh TERAJU dalam menangani cabaran modal kerja yang sering membelenggu kontraktor kecil.

Menurut beliau, pembiayaan i-WCPF berpotensi mengatasi masalah aliran tunai yang lazim dihadapi oleh kontraktor kecil, seterusnya meningkatkan kapasiti mereka dalam melaksanakan projek-projek kerajaan dan swasta secara lebih cekap dan berdaya saing.

“Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap syarikat, tertakluk kepada kelayakan serta keperluan modal kerja berdasarkan kontrak yang dimiliki.

“Perkobf menyeru agar kontraktor G1 tidak melepaskan peluang ini. Kami juga berharap proses permohonan akan dilaksanakan secara telus dan mudah bagi memastikan lebih ramai kontraktor dapat menikmati manfaatnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Penyediaan pembiayaan i-WCPF oleh TERAJU adalah selari dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), khususnya di bawah Pemacu 2 yang memberi tumpuan kepada penskalaan dan peningkatan keupayaan usahawan Bumiputera.

Pembiayaan ditawarkan bagi menampung keperluan pra dan pasca invois dengan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan dan kadar keuntungan sekitar satu peratus sebulan.

Norhamila turut menjelaskan bahawa skim ini tidak mengenakan sebarang fi atau yuran sekali gus meringankan beban permulaan dan membolehkan lebih banyak syarikat memanfaatkannya.

“Syarikat yang ingin memohon perlu berdaftar di Malaysia dan memiliki sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan Bumiputera, selain pengurusan tertinggi juga mestilah terdiri daripada individu Bumiputera.

“Ini adalah antara langkah dan satu bentuk sokongan signifikan kerajaan dalam memperkukuh penglibatan Bumiputera secara lebih inklusif dan mampan dalam sektor pembinaan serta perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN