53 pasukan dalam dan luar negara berentap sempena Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis - Utusan Malaysia

53 pasukan dalam dan luar negara berentap sempena Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis

PENGANJURAN Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 pada September depan mendapat penyertaan memberangsangkan daripada dalam dan luar negara.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 53 pasukan dari dalam dan luar negara telah mengesahkan penyertaan dalam penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 yang dijadual berlangsung pada 12 hingga16 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, penganjuran pada tahun ini akan turut disertai masyarakat kampung sekitar Kuala Perlis bagi acara Perahu Tradisi P14 dan P12.

Katanya, acara perahu naga juga dimeriahkan dengan penglibatan seramai 636 peserta secara keseluruhan termasuk dari negara seperti Filipina, Brunei, Thailand, Australia, England, Syria, Brazil, Libya, Kanada, Amerika Syarikat dan Indonesia.

“Negeri-negeri yang turut sama menghantar wakil mereka pada edisi kali ini adalah seperti Sabah, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Pesta Air Kuala Perlis merupakan acara tradisi negeri ini yang bermula sejak tahun 1961 dan menjadi antara medium merapatkan hubungan dalam masyarakat.

Dalam perkembangan berlainan, Abu Bakar berkata, Jambatan Tuanku Syed Putra di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis, dicadangkan dijenamakan semula kepada Jambatan Putra seperti mana nama asalnya sebelum ini.

“Langkah itu merupakan usaha penjenamaan semula infrastruktur dan pembangunan kawasan strategik warisan diraja dan pelancongan,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap agar semua pihak dapat mengembalikan dan menyeragamkan penggunaan nama rasmi jambatan itu sebagai Jambatan Putra dalam semua papan tanda, dokumen rasmi kerajaan, sistem navigasi digital dan bahan promosi pelancongan sama seperti semasa dirasmikan pada 30 Januari 1961 lalu.

Beliau berkata, saranan itu adalah bagi menghormati sumbangan Institusi Raja kepada pembangunan negeri ini di samping mengelakkan kekeliruan umum khususnya kepada generasi muda dan pelancong luar.

“Jambatan yang dinamakan Jambatan Putra ini telah dirasmikan oleh Almarhum Yang Dipertuan Agong pada 30 Januari 1961 dengan menghubungkan perkampungan Seberang Ramai dan Pekan Kepala Batas.

“Pada hari ini kita dapat saksikan jambatan tersebut telah diwarnai semula bertemakan warna- warni bersesuaian dengan Program Transformasi Diraja dan bersinar pada waktu malam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN