JERANTUT: UMNO menzahirkan rasa syukur atas kewujudan Titah Adendum yang sudah pun diperakui dan disahkan oleh Jabatan Peguam Negara supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya dalam bentuk tahanan rumah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perkara itu bukan sekadar isu perundangan, malah menyentuh asas kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan yang mesti dihormati semua pihak termasuk institusi kehakiman dan pentadbiran negara.
Menurut beliau, pendedahan tentang titah adendum yang telah disimpan lebih 500 hari itu menimbulkan persoalan besar daripada sudut keadilan dan ketelusan proses yang membabitkan keputusan pengampunan.
“Kalau saya sebagai rakyat biasa pun boleh fikir secara logik, adendum itu datang daripada titah Tuanku Sultan Pahang yang pada masa itu menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Maka sewajarnya dari awal lagi perkara itu dimaklumkan dan tidak dinafikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jerantut di sini hari ini.
Abdul Rahman dalam pada itu menyambut baik kenyataan rasmi UMNO dan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang mengucapkan terima kasih kepada institusi Istana atas kewujudan dokumen berkenaan.
“UMNO kekal dengan ikrar perjuangannya. Ikrar kami ialah tidak akan berhenti memperjuangkan hak Datuk Seri Najib, sehinggalah beliau mendapat layanan dan keadilan sewajarnya berdasarkan undang-undang dan prinsip perlembagaan,” katanya.
Beliau berharap Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Iskandar mempertimbangkan kembali pelaksanaan kandungan addendum bagi meneruskan prosedur undang-undang negara.
“Kalau institusi Raja kita sendiri tidak dihormati, bagaimana kalau selepas ini Agong yang baharu keluarkan ketetapan lain, lalu juga dinafikan? Kita tidak mahu institusi Raja ini dipertikai atau dipermainkan,” tegas beliau. – UTUSAN