PETALING JAYA: Siasatan kejadian letupan paip gas dekat Putra Heights pada 1 April lalu yang dibentangkan laporannya baru-baru ini dilakukan dengan terperinci berdasarkan kajian dan fakta bagi mengenal pasti punca tragedi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau yakin pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jawatankuasa siasatan dianggotai pelbagai agensi kerajaan sudah pun melaksanakan penyiasatan dengan teliti termasuklah menganalisis sampel paip dan tanah di tempat kejadian.
Menurutnya, bagaimana pun beliau bersedia membenarkan mana-mana badan bebas melakukan siasatan jika terdapat keraguan terhadap insiden tersebut dan laporan yang dibentangkan pada akhir bulan lalu.
“Terpulang kalau mereka hendak buat (siasatan) kita akan beri (benarkan) kalau mereka lihat terdapat benda yang meragukan. Tetapi, saya akui mungkin ada kekurangan, namun kita sudah buat sehabis baik dan terperinci melihat punca kepada kejadian dan cara untuk mengatasinya pada masa depan.
“Ada orang cepat membuat kesimpulan. Tetapi, bila ada kesimpulan dan tanggapan tidak kena, mereka marah pula. Tak bolehlah, itu (laporan dibentangkan) adalah dapatan saintifik, mereka (pihak berkuasa) turun ke lapangan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan 10 Tahun Perbadanan Teknologi Informasi dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), malam tadi.
Amirudin menegaskan, beliau menyanggah dakwaan terdapat arahan tertentu dikeluarkan oleh pejabatnya atau kerajaan negeri untuk melindungi mana-mana pihak dikatakan menjadi punca kepada insiden berkenaan.
“Siasatan sudah berlangsung, tiada apa yang hendak diselindungkan. Malahan, pelbagai tohmahan ternyata tidak dapat dibuktikan melalui kajian saintifik. Itu (laporan siasatan) adalah kajian yang dicerap secara saintifik.
“Ada arahan yang mengatakan projek-projek di bahagian sana (bangunan komersial) ada kaitan dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), itu adalah tuduhan liar bersandarkan surat daripada Koridor Utiliti Selangor (Kusel) yang cuma membenarkan pengorekan dibuat.
“Setiap sebarang kerja-kerja pengorekan itu harus dilakukan dengan garis panduan Kusel, itu sebenarnya,” jelasnya.
Amirudin berkata, bagaimanapun satu laporan lengkap bertulis akan diterbitkan dan boleh diakses oleh orang awam untuk meneliti dan menilai siasatan insiden berkenaan yang kini sedang dalam proses penyusunan.
“Ambil masa sedikit kerana ada pengumpulan (laporan siasatan) dan kajian kes yang dalam (teliti) dan tebal, jadi ia memerlukan masa.
“Kita akan membuat penerangan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di Selangor yang berminat untuk mendengar laporan itu, sebab banyak aspek-aspek teknikal terkandung di dalamnya dan saya menunggu masa untuk laporan itu ditulis sepenuhnya untuk kita terbitkan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penduduk menggesa siasatan semula dilakukan terhadap tragedi yang menjejaskan 219 buah rumah itu susulan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada unsur sabotaj dan jenayah berhubung tragedi tersebut menimbulkan banyak persoalan. – UTUSAN