Titah Adendum wajar dilaksana - UMNO Pahang - Utusan Malaysia

Titah Adendum wajar dilaksana – UMNO Pahang

WAN Rosdy Wan Ismail (duduk, tengah) dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Badan Perhubungan UMNO Pahang berpandangan Titah Adendum berkaitan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak wajar dilaksanakan setelah kewujudannya diakui oleh pihak pendakwaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menjunjung kasih ke sisi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan baginda mengabsahkan Titah Adendum tersebut.

“Perkara tersebut turut diperjelas melalui warkah rasmi baginda yang diutuskan kepada Datuk Mohd. Nizar Najib, Naib Ketua UMNO Bahagian Pekan yang juga anakanda kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2 Disember 2024.

“Warkah baginda secara tidak langsung turut mengabsahkan afidavit yang telah dikemukakan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO serta Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Naib Presiden UMNO, dalam prosiding mahkamah terdahulu, yang sebelum ini telah diketepikan atas alasan “hearsay”,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.

Wan Rosdy berkata, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang turut menyambut baik dan menyokong kenyataan yang dikeluarkan 160 Ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara yang memohon agar kerajaan melaksanakan Titah Adendum tersebut.

“Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berpandangan bahawa dengan wujudnya Titah Adendum yang telah diakui oleh pihak pendakwaan, maka adalah wajar titah tersebut dilaksanakan.

Tambah beliau, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang turut melahirkan penghargaan terhadap keterbukaan dan kesediaan Perdana Menteri mencari jalan penyelesaian yang terbaik terhadap isu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN