SEREMBAN: Tiada tindakan penggantungan keahlian akan diambil terhadap sembilan ahli Parlimen daripada PKR yang menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dalam isu badan kehakiman negara baru-baru ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, perkara itu juga sudah diputuskan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kesemua ahli Parlimen berkenaan berhak menyuarakan isu rakyat.
Bagaimanapun menurutnya, adalah wajar untuk setiap ahli Parlimen untuk mendapatkan khidmat serta perbincangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Apa yang berlaku sebelum ini adalah anggota-anggota di Cabang meluahkan perasaan mereka dan ia sesuatu yang kita tidak boleh ketepikan ataupun nafikan.
“Sebab itu saya kata kita akan teliti dan kita akan kaji, namun Perdana Menteri yang juga Presiden telah menyatakan bahawa tidak timbul isu kerana mereka adalah ahli Parlimen yang berhak menyuarakan isu rakyat.
“Cuma teguran bahawa kadang-kadang kita perlu bincang lebih, tanya lebih sikit, sebelum membuat kenyataan-kenyataan itu tetapi tidak timbul keadaan yang mana sehingga digantung,” katanya kepada pemberita pada Seminar Pemantapan Organisasi Parti dan Jelajah Presiden di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa hampir sejam bagi menyampaikan amanat serta bertemu dengan ahli akar umbi parti PKR di negeri ini yang diadakan secara tertutup dan turut dihadiri oleh kesemua Naib-naib Presiden parti itu.
Sementara itu, Fuziah berkata, jelajah berkenaan adalah usaha untuk menyatukan kesemua ahli parti terutamanya selepas Pemilihan PKR baru-baru ini.
“Kita mahu rangkul semua sebab kita ada banyak kerja di hadapan kita dan kita perlu satukan balik hati-hati (ahli parti). Sebab kita bukan berlawan dengan musuh, kita berlawan adik-beradik.
“Alhamdulillah di seluruh negara sambutan amat luar biasa, begitulah komitmen, semangat yang ditunjukkan sebab mereka semua nak move on, selepas daripada pemilihan dan mereka mahu berikan yang terbaik untuk parti, untuk kuatkan parti, untuk kukuhkan parti, untuk tambah anggota dan sebagainya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai ahli-ahli PKR terutamanya yang berjawatan dalam Kerajaan yang sedikit lantang dalam menyuarakan pendapat, Fuziah menyatakan perkara itu sudah sinonim dengan parti berkenaan.-UTUSAN.










