Tiada diskriminasi kelulusan permit masuk pasangan warga asing

PARLIMEN: Tiada diskriminasi kelulusan permit masuk pasangan warga asing

SAIFUDDIN NASUTION
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kelulusan permit masuk bagi pasangan warga asing kepada warganegara Malaysia dibuat berdasarkan pertimbangan yang adil dan seimbang tanpa mengira jantina.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, antara prasyarat bagi permohonan status Penduduk Tetap (MyPR) ialah pemohon perlu terlebih dahulu memperoleh permit masuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, pemberian permit masuk kepada warga asing selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 10(1) dan (2) Akta Imigresen 1959/63 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Imigresen untuk mengeluarkan permit berdasarkan syarat dan tatacara ditetapkan.

“Berdasarkan peratusan kelulusan permit masuk antara tahun 2013 hingga 2023, kadar kelulusan bagi isteri kepada warganegara adalah 22.3 peratus manakala kadar kelulusan bagi suami kepada warganegara adalah 22.7 peratus.

“Ini menunjukkan tiada perbezaan ketara dari segi kelulusan permit masuk bagi kategori pasangan suami atau isteri kepada warganegara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang membangkitkan mengenai proses permohonan MyPR yang didakwa membebankan wanita warganegara Malaysia yang mempunyai pasangan warga asing.

Tambah Saifuddin, semua permohonan permit masuk bagi kategori pasangan kepada warganegara dinilai secara adil dan saksama.

“Beberapa faktor diambil kira sebelum kelulusan diberikan. Sebagai contoh, bagi isteri kepada warganegara, isu berkaitan kebajikan dan pengabaian turut dipertimbangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN