Suspek curi telur Penyu di Cherating ditahan polis, positif dadah - Utusan Malaysia

Suspek curi telur Penyu di Cherating ditahan polis, positif dadah

TANGKAP layar menunjukkan tiga lelaki mengangkat seekor penyu untuk dipaksa bertelur di Pantai Cherating dekat Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Cherating di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian mengganggu seekor penyu yang sedang naik ke darat untuk bertelur di pantai berhampiran Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Cherating di sini.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi di sekitar kawasan Cherating hasil siasatan segera susulan video tular yang dirakam pengunjung.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah manakala dua lagi lelaki yang turut kelihatan dalam video berkenaan masih dikesan,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Adli, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi pada 27 Julai lalu dan menunjukkan tiga lelaki mengangkat seekor penyu ke kawasan lubang bertelur yang telah digali.

“Siasatan awal mendapati perbuatan itu dipercayai bertujuan mempercepatkan proses penyu bertelur untuk mendapatkan telur secara haram.

“Namun begitu, setelah perbuatan mereka disedari dan ditegur oleh beberapa pengunjung, suspek bertindak melepaskan semula penyu tersebut ke laut,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas laporan yang dibuat oleh Ketua Pusat Konservasi Penyu Cherating, pihak polis menjalankan siasatan segera dan berjaya mengenal pasti salah seorang suspek melalui rakaman video yang tular.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Perikanan 1985  yang melarang sebarang bentuk gangguan terhadap penyu dan telur penyu serta Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri Pahang kerana pemilikan telur penyu tanpa permit sah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000. Polis memberi jaminan akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan dalam memastikan pelaku yang mengganggu spesies marin dilindungi seperti penyu dikenakan tindakan tegas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN