SEREMBAN: Siapa sangka bermula sebagai hobi telah mengubah kehidupan seorang suri rumah yang mampu meraih pendapatan sehingga RM8,000 sebulan menerusi gubahan bunga menggunakan kawat baldu.
Ibu kepada empat orang anak, Siti Amira Pilus, 36, berkata, minatnya dalam seni gubahan itu bermula apabila rakannya telah memintanya membuat gubahan hantaran perkahwinan.
“Saya mula mengetahui seni gubahan ini pada tahun 2021.
“Bunga ini orang suka sebab unik, boleh diubah suai mengikut kreativiti sendiri seperti warna, bentuk dan saiz,” katanya ketika ditemui di Taman Matahari Height, Senawang di sini.
Katanya, hasil daripada usahanya itu membolehkan dia sering mendapat tempahan yang sehinggakan boleh mencecah ratusan ringgit setiap satu projek.
“Semuanya terpulang kepada pelanggan berdasarkan bentuk gubahan dan bajet mereka sendiri.
Harga ditetapkan berdasarkan saiz dan jenis gubahan serta kelopak daun atau bunga, ada harga dikenakan semurah RM3 sehinggalah RM250.
“Ada yang berbentuk rantai kunci dan juga jambangan bunga. Jika pada hari konvokesyen, saya tidak menang tangan dan mendapat permintaan tinggi sehingga pernah meraih pendapatan bulanan sehingga RM8,000,” katanya.
Tambahnya lagi, sokongan program keusahawanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) turut menjadi pemangkin utama kepada kejayaannya.-UTUSAN.










