MELAKA: Kawasan perairan jeti nelayan Sungai Lereh menjadi projek perintis penternakan ketam nipah berasaskan inovasi dan kupang sekali gus membuka peluang sumber pendapatan tambahan nelayan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kaedah penternakan ketam nipah berasaskan inovasi itu akan mengikut kaedah nelayan di Langkawi bagi berkongsi ilmu, teknik dan cara menternak spesies itu secara moden.
“Sebagai permulaan kawasan perairan jeti nelayan Sungai Lereh akan menjadi projek perintis. Kajian akan dibuat untuk melihat keadaan air laut sekitar jika ia sesuai untuk penternakan ketam nipah moden.
“Inovasi baharu ketam nipah seperti di Langkawi ia lembut dan inilah penternakan yang akan ditunjuk ajar kepada nelayan di jeti nelayan Sungai Lereh. Mereka akan dihantar ke Langkawi untuk mempelajari cara penternakan moden.
“Jika projek perintis ini berjaya barulah ia akan diperluaskan kepada enam jeti nelayan di sekitar DUN Pantai Kundor,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat tapak lokasi cadangan ternakan ketam nipah dan kupang di jeti nelayan Sungai Lereh di sini semalam.
Tuminah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, kajian awal menunjukkan benih ketam nipah telah wujud di kawasan berkenaan dan memudahkan bagi pelaksanaan projek tersebut nanti.
Menurutnya, kaedah penternakan secara inovatif yang akan dijalankan dalam petak-petak plastik berskala kecil dengan menggunakan sistem aliran air masin yang diteliti kesesuaiannya.
Katanya, projek tersebut dilihat sebagai pendekatan jangka panjang bagi membantu nelayan yang sering terjejas pendapatan sewaktu musim tengkujuh.
“Langkawi telah buktikan ternakan ketam nipah cara moden sangat berkesan. Kini giliran Melaka pula mengadaptasi inovasi ini dengan bantuan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan pengusaha berpengalaman untuk menjadi realiti,” ujarnya.-UTUSAN.










