KANGAR: Nik Muhammad Rayyan Mohd. Shahabuddin,11, menjadi wira apabila jaringannya berbaki tujuh minit sebelum perlawanan berakhir berjaya membantu Sekolah Tengku Budriah (STB) muncul juara menewaskan Sekolah Kebangsaan (SK) Behor Empiang 2-1 dalam aksi akhir kejohanan bola sepak bawah 12 tahun Majlis Sukan Sekolah Negeri Perlis (MSSPs) 2025.
Lebih manis, kemenangan tersebut menyaksikan pasukan bimbingan Mohd. Shahabuddin Kadir,44, itu berjaya mengekalkan kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut.
Tahun lalu, STB mencuri tumpuan apabila menamatkan penantian 13 tahun selepas muncul juara kejohanan berkenaan.
STB juga cemerlang apabila pemainnya, Muhammad Furqaan Faqieh Muhammad Firdaus,12, dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir manakala Muhammad Aufa Dani Muhammad Hairee,11, dipilih penjaga gol terbaik.
Muhammad Rizqi Noor Irwan,11, pula muncul sebagai penjaring terbanyak STB.
STB menunjukkan penguasaan sejak awal apabila di peringkat kumpulan menewaskan SK Putra 2-0, SK Stella Maris, 3-0 manakala di peringkat 32 terbaik menewaskan SK Tok Kayaman 1-0.
Pusingan 16 terbaik menyaksikan STB menewaskan SK IPGM 2-1 seterusnya menumpaskan SK Batu Bertangkup 1-0 dalam aksi suku akhir dan di separuh akhir mengatasi SK Utan Aji menerusi penentuan penalti 6-5 selepas kedudukan seri 0-0.
Di perlawanan akhir, STB berjaya menewaskan SK Behor Empiang yang juga tuan rumah dalam aksi sengit.
Mohd. Shahabuddin berkata, para pemain mempamerkan aksi yang cukup baik dan mentaliti untuk menang sepanjang kejohanan berkenaan sehingga muncul juara.
Katanya, kemenangan itu juga menjadi peransang kepada sekolah tersebut yang menetapkan sasaran mencipta rekod muncul juara tiga tahun berturut-turut tahun depan.
“Kebanyakkan pemain kita berusia 11 tahun yang masih boleh bermain dalam kejohanan tahun depan sekali gus bakal memberi kelebihan untuk kita mengekalkan kejuaraan kali ketiga tahun depan,” katanya.-UTUSAN