KANGAR: Skor perpaduan di peringkat sekolah menunjukkan peningkatan daripada 7.10 pada 2022 kepada 7.51 pada 2023 sekali gus menunjukkan perkembangan positif terhadap perpaduan dalam kalangan pelajar serta warga sekolah di seluruh negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, perpaduan nasional sememangnya perlu dipupuk sejak dari peringkat generasi muda memandangkan golongan tersebut adalah tunjang masa depan negara.
Katanya, dalam usaha memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah membangunkan indeks perpaduan sekolah sebagai ukuran keberkesanan pelbagai inisiatif perpaduan yang dilaksanakan di sekolah-sekolah.
“Indeks ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, di mana skor perpaduan sekolah meningkat daripada 6.27 pada tahun 2021 kepada 7.10 pada 2022 dan seterusnya mencatatkan 7.51 pada 2023.
“Peningkatan ini menandakan kesan positif dan keberhasilan usaha kolektif dalam memperkukuh integrasi sosial serta nilai perpaduan dalam kalangan pelajar dan warga pendidik di seluruh negara.
“Malah, salah satu syor utama yang digariskan dalam laporan indeks perpaduan sekolah 2022 ialah keperluan memperkasakan aktiviti kurikulum dan kokurikulum merentas etnik, sebagai langkah strategik memperkukuh perpaduan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, bersempena keperluan tersebut, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) turut melancarkan Program Gerak Integrasi Perpaduan (GRIP) Kelab Rukun Negara peringkat kebangsaan tahun 2025.
Aaron berkata, program GRIP tersebut adalah berteraskan modul silang budaya yang mengutamakan pembelajaran interaktif dan pengalaman langsung dengan fokus kepada nilai-nilai kenegaraan, adat dan warisan budaya serta nilai sivik dan moral.
Katanya, inisiatif tersebut menggabungkan intipati utama program perpaduan sedia ada seperti program Kenali Kita, kembPerpaduan Anak Malaysia dan program silang budaya.
“Pelaksanaan GRIP selaras dengan Dasar Perpaduan Negara (DPN) yang meletakkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan integrasi sosial dan pembentukan masyarakat inklusif sebagai teras utama negara.
“GRIP juga disusun mengikut tiga kluster utama iaitu kluster kenegaraan yang menfokus kepada pemahaman sejarah pembentukan Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Kedua pula kluster Budaya dan Adat Resam yang memperkenalkan makanan tradisi, pakaian, perayaan, seni rakyat dan permainan tradisional pelbagai etnik.
“Manakala yang ketiga kluster Nilai-Nilai Murni yang menanam nilai sivik dan moral dalam konteks sosial dan kewarganegaraan inklusif. Program ini akan dilaksanakan secara berfasa di seluruh negeri mulai tahun ini. Ia bagi
membentuk pelajar sebagai ejen perpaduan dalam sekolah dan komuniti mereka,” katanya.-UTUSAN