SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyasarkan penyertaan seramai 40,000 orang bagi Festival Turath Islami Selangor 3.0 yang dilancarkan secara rasmi bermula hari ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program selama sembilan hari itu memfokuskan kepada penghayatan mengenai tradisi dan amalan Islam di nusantara.
Menurutnya, pengisian Festival Turath Islami kali ini meliputi bacaan tafsir al-Quran dan taurah termasuk syarahan perdana oleh tokoh agama terkemuka Indonesia, Ustaz Dr. Adi Hidayat.
“Setakat ini, kita telah menerima pendaftaran seramai 2,000 orang yang menyertainya secara fizikal.
“Berdasarkan sambutan pada penganjuran festival terdahulu, kita yakin jumlah peserta akan mencecah 40,000 orang termasuk secara atas talian,” katanya selepas merasmikan program itu, hari ini.
Tambah Amirudin, kelainan festival kali ini menampilkan topik mengenai tafsiran Kitab Dalail al-Khairat yang digunakan di nusantara.
“Dalail itu antara kitab yang kebiasaannya didalami di pondok-pondok atau pesantren dan madrasah. Jadi, kita merasakan tafsiran itu perlu disebarkan bagi memberi lebih kebaikan kepada masyarakat,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut mengekalkan program Darul Ehsan Berselawat yang menerima sambutan luar biasa dan dinantikan pengunjung sejak kali pertama penganjurannya.
Festival yang dijadualkan sehingga 20 Julai depan itu turut meliputi Festival Buku Islami, Pameran Al-Wahyu: Funduq dan Bazaar Turath. – UTUSAN