SHAH ALAM: Selangor mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan status sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi satu perempat iaitu RM432.1 bilion atau 26.2 peratus.
Negeri ini mengekalkan prestasi tersebut untuk dua tahun berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 0.3 peratus berbanding 25.9 pada tahun 2023 yang mencatatkan sumbangan KDNK sebanyak RM406.1 billion.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, negeri ini terus mencatatkan sejarah sebagai penyumbang terbesar dengan peningkatan berterusan sejak 2021.
“Dengan pertumbuhan ekonomi tahunan sebanyak 6.3% dan nilai ekonomi mencecah RM432.1 bilion, Selangor kekal sebagai enjin utama pembangunan negara.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, sektor industri, penjawat awam yang komited, serta rakyat Selangor yang sentiasa berdaya saing dan progresif. Alhamdulillah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporannya memaklumkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.1 peratus pada tahun berkenaan, meningkat daripada 3.5 peratus berbanding 2023 bersama peningkatan nilai kepada RM1.65 trilion.
Sektor Perkhidmatan kekal mendominasi ekonomi negara dengan sumbangan 59.4 peratus, berkembang 5.3 peratus seterusnya sektor pembuatan dan sektor pertanian masing-masing turut meningkat 4.2 peratus dan 3.1 peratus berbanding pertumbuhan marginal 0.7 peratus dan 0.2 peratus pada tahun sebelum.
DOSM dalam kenyataannya memaklumkan, pada tempoh sama, sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh daripada 0.5 peratus kepada 0.9 peratus, manakala Sektor Pembinaan terus mengukuh dengan pertumbuhan 17.5 peratus.
“Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab perindustrian dan perkhidmatan utama negara, serta kekal sebagai penyumbang utama ekonomi Malaysia. Negeri ini menyumbang 26.2 peratus, disokong oleh kadar pertumbuhan kukuh sebanyak 6.3 peratus.
“Sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang terbesar, menyumbang sebanyak 61.1 peratus kepada KDNK, berkembang 6.3 peratus. Itu disokong oleh subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang meningkat 6.7 peratus, serta perdagangan borong dan runcit, makanan & minuman dan penginapan sebanyak 4.6 peratus, yang mencerminkan peningkatan berterusan dalam permintaan pengguna dan aktiviti berkaitan pelancongan,” jelasnya.
Katanya lagi, penyumbang kedua terbesar iaitu sektor pembuatan yang menyumbang 29.1 peratus, bertumbuh 5.1 peratus didorong oleh beberapa subsektor utama, termasuk produk elektrik, elektronik dan optikal yang berkembang 5.7 peratus, serta mineral bukan logam, logam asas dan yang direka (8.4 peratus). – UTUSAN