Rumah dipecah masuk, guru wanita rugi lebih RM33,000 - Utusan Malaysia

Rumah dipecah masuk, guru wanita rugi lebih RM33,000

KERETA Perodua Myvi dipercayai dilarikan suspek dalam kejadian pecah masuk rumah di Taman Prima Gadak, Muadzam Shah, Rompin. - GAMBAR SUMBER FB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Seorang guru wanita kerugian kira-kira RM33,450 selepas rumahnya di Taman Prima Gadak, Muadzam Shah, di sini dipecah masuk awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, suspek turut melarikan sebuah kereta Perodua Myvi 1.5 SE berwarna biru bernombor pendaftaran JSG 3110.

Mangsa, Nor Syakila Nordin, 33, yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah agama swasta, hanya menyedari kejadian selepas bangun tidur dan mendapati telefon bimbitnya hilang.

Ketua Polis Daerah Rompin, Pemangku Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati barangan lain yang turut hilang  termasuk seutas gelang dan sebentuk cincin emas serta wang tunai RM250.

“Pengadu mendapati pintu almari terbuka dan beg tangan miliknya hilang. Lebih mengejutkan apabila kereta yang diletakkan di hadapan rumah juga sudah tiada.

“Pemeriksaan mendapati suspek dipercayai masuk melalui tingkap tandas di bahagian belakang rumah yang tidak berkunci sebelum mengambil kunci kereta yang digantung di dinding berdekatan pintu bilik dan melarikan kenderaan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Sharif Shai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi kenderaan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Muadzam Shah di talian 013-9844603 atau balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN