RM1.52 juta sokong pekebun kecil kelapa sawit di Kudat - Utusan Malaysia

RM1.52 juta sokong pekebun kecil kelapa sawit di Kudat

CHAN Foong Hin (empat dari kanan) ketika hadir pada program penyampaian Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 di Kudat, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Kerajaan memberikan komitmen menyokong pekebun kecil kelapa sawit di Kudat melalui peruntukan sebanyak RM1.52 juta. 

 Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, sebanyak RM795,780 telah disalurkan kepada sepuluh pekebun kecil di Kudat di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0.bagi menyokong penanaman semula pokok kelapa sawit tua seluas 44.21 hektar.

“Inisiatif ini membantu meringankan beban kewangan mereka sambil meningkatkan produktiviti perladangan dan memastikan kemampanan pendapatan jangka panjang,” katanya pada program penyampaian Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 di sini hari ini.

 Tambahnya, sebanyak RM725,000 turut diperuntukkan bagi pembinaan dua projek Jalan Akses Ladang Pekebun Kecil (JLPK) sepanjang 2.3 kilometer yang bertujuan menghubungkan penempatan masyarakat dengan ladang kelapa sawit bebas dalam daerah. 

Projek yang terlibat ialah JLPK Kampung Rasak Darat Tigaman yang menelan kos sebanyak RM225,000 dan JLPK Kampung Suang Pai yang diperuntukkan sejumlah RM500,000.

“Jalan-jalan ini diutamakan untuk kawasan yang mempunyai ladang yang aktif atau baru dibangunkan untuk menambah baik pengangkutan input pertanian dan tanaman yang dituai.

“Ini demi memastikan akses yang lebih baik ke jalan utama dan pusat jualan,” katanya.

Sementara itu, Foong Hin menyeru pekebun-pekebun kecil di Sabah untuk mengambil peluang menyertai Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) bagi menikmati pelbagai manfaat yang ditawarkan.

Katanya, KPSM bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok, tetapi juga sebagai penyedia perkhidmatan sokongan kepada ahli-ahlinya.

“KPSM memberi manfaat jangka panjang kepada ahli-ahlinya yang terlibat dalam kalangan pekebun kecil.

“Oleh itu, saya menyeru agar peluang ini jangan dilepaskan bagi membantu meningkatkan kecekapan dan daya saing dalam industri sawit,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN