PETALING JAYA: Malaysia kini berdepan gelombang baharu yang membimbangkan iaitu kehilangan pendengaran awal dalam kalangan belia susulan budaya pemakaian fon telinga sepanjang hari, muzik yang terlalu kuat, permainan video tanpa henti dan pendedahan berterusan kepada kandungan digital.
Lebih membimbangkan, semakin ramai remaja kini menunjukkan tanda-tanda awal kehilangan pendengaran sebelum mencecah usia 20 tahun.
Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2020 sehingga 2025, sebanyak 6.6 peratus kanak-kanak yang berumur 3 hingga 12 tahun dan 3.5 peratus remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun mengalami masalah kurang pendengaran di Malaysia.
Ketua Jabatan Otorinolaringologi, Surgeri Kepala dan Leher, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ramiza Ramza Ramli berkata, kes kehilangan pendengaran awal (pra-matang) dalam kalangan remaja sejak 10 tahun kebelakangan ini semakin meningkat.
“Ya, terdapat trend peningkatan global termasuk di Malaysia. WHO melaporkan peningkatan masalah pendengaran dalam kalangan golongan muda akibat pendedahan kepada bunyi bising rekreasi seperti muzik kuat melalui fon telinga.
“Walaupun data tempatan terperinci masih terhad, pakar-pakar Otorinolaringologi (ENT) dan Audiologi tempatan mengesahkan terdapat peningkatan kes remaja yang datang untuk pemeriksaan pendengaran.
“Pemerhatian ini bersamaan dengan trend terkini antarabangsa yang melaporkan antara 1.1 bilion kanak-kanak dan remaja berisiko untuk mengalami masalah pendengaran yang kekal disebabkan oleh penggunaan peranti audio peribadi secara tidak selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ramiza Ramza berkata, pakar-pakar ENT dan audiologi tempatan mengesahkan bahawa semakin ramai golongan muda hadir ke hospital dan klinik untuk menjalani pemeriksaan pendengaran.
“Mereka mengadu simptom seperti bunyi berdengung dalam telinga (tinnitus), kepekaan melampau terhadap bunyi dan kesukaran mendengar dalam persekitaran bising yang merupakan gejala awal kepada kehilangan pendengaran kekal.
“Fon telinga boleh menyebabkan pekak melalui tekanan bunyi tinggi yang merosakkan sel rambut halus dalam koklea. Risiko meningkat jika ia digunakan secara berterusan tanpa rehat atau dengan tahap bunyi tinggi melebihi 85 desibel,” katanya.
Tambah Ramiza Ramza, masalah pendengaran juga boleh meningkatkan risiko kemurungan dan pengasingan sosial.
“Penggunaan fon telinga dalam tempoh yang lama dan pada tahap bunyi yang tinggi juga boleh membawa kesan jangka panjang seperti kehilangan pendengaran kekal, tinnitus atau bunyi berdengung dalam telinga, kepekaan melampau terhadap bunyi (hyperacusis), serta kesukaran berkomunikasi dalam persekitaran bising.
“Dalam jangka masa panjang, ia juga boleh meningkatkan risiko kemurungan dan pengasingan sosial akibat masalah pendengaran,” katanya. – UTUSAN











