MARAN: Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim langsung tidak menyentuh keresahan rakyat iaitu kos sara hidup yang melonjak dan pendapatan yang kekal tidak mencukupi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata, kerajaan terus mendabik dada kononnya ekonomi berkembang 4.5 peratus, ringgit kukuh ke RM4.23/USD dan pelaburan asing mencanak RM384 bilion.
“Namun, soalan paling asas rakyat masih tidak dijawab. Kenapa harga barang terus naik? Kenapa gaji masih tidak cukup? Kenapa bantuan bersifat sementara, bukan penyelesaian jangka panjang?
“Kerajaan mengumumkan bantuan one-off RM100 untuk semua dewasa melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kononnya ‘penghargaan rakyat’. Tetapi pada masa sama, harga makanan melonjak 4.2 peratus setakat Jun lalu, jauh mengatasi kadar inflasi keseluruhan yang kononnya 1.1 peratus berdasarkan sumber Jabatan Perangkaan Malaysia pada bulan ini.
“Harga beras tempatan meningkat antara 16 hingga 18 peratus dalam tempoh enam bulan. Harga ayam melebihi RM10 satu kilogram (kg) di banyak negeri. Minyak masak botol 5kg pula mencecah RM32 hingga RM35 sebotol.
Dengan RM100, rakyat hanya mampu bertahan beberapa hari sahaja, bukan satu penyelesaian dasar, hanya kosmetik politik,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jasri berkata, pengumuman harga RON95 bakal “turun” kepada RM1.99 seliter adalah pengumuman kabur dan tidak telus.
“Persoalan yang masih membimbangkan rakyat ialah ketiadaan butiran terperinci bagaimana penyasaran subsidi akan dilaksana pada September nanti. Apakah jaminan subsidi tidak akan ditarik diam-diam selepas 1 Oktober 2025?
“Bagaimana dengan implikasi kepada harga barang keperluan yang bergantung pada kos logistik dan pengangkutan? Kerajaan masih belum menjelaskan mekanisme penyasaran, kaedah pemantauan dan senarai penerima subsidi sebenar. Rakyat bimbang ini hanya helah politik sebelum tindakan tidak popular diumum kemudian,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga bangga mengumumkan RM15 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA 2025, tetapi terus gagal menangani ketirisan subsidi dan pembaziran perbelanjaan awam.
“Ketirisan subsidi diesel tahun 2023 sahaja dianggarkan RM10 bilion. Subsidi RON95 pula menelan RM20 bilion setahun, tetapi belum ada audit ketirisan menyeluruh diumum. Selagi ketirisan tidak ditangani, pemberian tunai hanya sekadar melepas batuk di tangga, bukan reformasi sebenar yang dituntut rakyat,” katanya.
Beliau juga berkata, pada hakikatnya, Program Sejati Madani, Kampung Angkat dan Sekolah Angkat hanya manis di bibir.
“Di Kuala Sentul dan banyak kawasan luar bandar lain, peruntukan kecil RM100,000 komuniti tidak cukup untuk rangsang ekonomi setempat. Masalah asas seperti capaian internet, kemudahan kesihatan dan harga input pertanian masih tidak ditangani. Golongan belia pula terus bergelut dengan peluang kerja yang terhad dan tidak menentu dan beban hutang pendidikan,” katanya.
Jasri dalam pada itu menyeru supaya Kerajaan Madani berhenti bermain persepsi dengan angka-angka yang tidak berakar kepada realiti hidup rakyat. Malah, isu-isu berkaitan kos sara hidup bukan boleh diselesaikan dengan cuti umum tambahan atau bantuan one-off menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
“Apa diperlukan rakyat ketika ini adalah reformasi struktur upah dan jaminan pekerjaan, penurunan harga barang secara konsisten, penyelesaian ketirisan subsidi, pelaburan dalam kemudahan luar bandar dan keselamatan makanan.
“Rakyat sudah terlalu lama bersabar. Jika Kerajaan tidak berubah, gelombang rakyat akan menuntut perubahan,” katanya. – UTUSAN