KUANTAN: Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pencerobohan skim tanah rakyat (STR) Sungai Padi di sini oleh sebuah koperasi sejak 2012.
Presiden PSAP, Haslihelmy DM Zulhasli mendakwa, sebuah koperasi di daerah ini menceroboh tanah STR Sungai Padi dan menanam kelapa sawit tanpa kebenaran pemilik sah.
“Pada tahun ini, hak milik tanah sudah diberikan kepada individu oleh kerajaan. Sehingga kini, pencerobohan ini tidak pernah disertakan dengan surat lantikan atau kebenaran bertulis daripada pemilik. Koperasi menawarkan sewaan tanah RM800 setahun manakala Sungai Padi Plantation menawarkan RM2,000 setahun, menyebabkan ramai pemilik beralih kepada syarikat itu.
“Beberapa pemilik tanah sudah mengemukakan hak milik mereka secara sah kepada Sungai Padi Plantation dengan menandatangani perjanjian bertulis. Geran tanah adalah dokumen undang-undang yang melindungi hak pemilik.
“Seksyen 340 dan 44(1) Kanun Tanah Negara (KTN) menekankan hak eksklusif pemilik. Di bawah Seksyen 425 dan 426A KTN, pencerobohan tanah dianggap jenayah yang boleh dihukum penjara atau denda,” dakwanya.
Dakwanya, beliau selaku pengurus projek dan pemilik tanah dihalang memasuki tanah itu oleh beberapa individu.
“Saya hadir ke SPRM Pahang untuk melaporkan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah. Saya percaya mereka yang terlibat menyalahgunakan kuasa dan kedudukan kerana mempunyai kepentingan peribadi atau konflik kepentingan dalam melaksanakan tugas rasmi mereka terhadap projek, selain itu mereka ini cuba mempengaruhi dan memaksa pemilik tanah STR untuk menyerahkan tanah kepada penceroboh asal untuk projek pengeluaran kelapa sawit.
“Saya mohon SPRM memeriksa dan menyiasat perkara tersebut kerana mereka mungkin ada meminta dan menerima wang perlindungan kerana berusaha keras untuk melantik koperasi yang sedia ada dan saya syaki mereka mengambil kesempatan untuk mendapatkan ganjaran.
“Saya mengesyorkan supaya koperasi terbabit disiasat di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan (penyelewengan harta secara penipuan) kerana penyelewengan tanah,” katanya.
Dakwanya, dalam kes koperasi terbabit, ia secara haram meneroka tanah untuk penanaman kelapa sawit dan durian serta tidak membayar cukai atau mengagihkan hasil kepada penduduk kampung selama 13 tahun.
“Saya meminta SPRM memanggil mereka yang terlibat dalam kes itu untuk menjawab soalan pegawai penyiasat berhubung penerokaan tanah ini yang saya bangkitkan bagi memahami proses tindakan mereka,” katanya. – UTUSAN