Pertubuhan Reformis Ulung (PRu) memandang serius tindakan provokasi yang melanggar tatasusila rakyat Malaysia yang dilakukan oleh Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada perhimpunan “Turun Anwar”, Sabtu lalu.
Menerusi satu kenyataan, PRu menyatakan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan merdeka, namun kebebasan bersuara tidak memberi lesen untuk melakukan penghinaan atau provokasi melampau terhadap pemimpin negara. Sikap sebegini tidak mencerminkan adab rakyat Malaysia yang berbudaya dan menghormati institusi kepimpinan.
Presiden PRu, Zahariman Ariffin berkata pihaknya memohon agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang cuba mencetus provokasi dengan kelakuan sebegini demi memelihara keharmonian, keselamatan, dan kestabilan negara.
PRu sekali gus menolak politik kebencian, pencipta fitnah serta penyebar hasutan yang merosakkan perpaduan rakyat.
Dalam pada itu, PRu menyeru semua pihak agar mengekalkan adab, tatasusila, dan nilai hormat dalam menyuarakan pandangan.