Portal UP_TVET lonjak penyertaan pelajar dalam pendidikan kemahiran - Utusan Malaysia

Portal UP_TVET lonjak penyertaan pelajar dalam pendidikan kemahiran

ZULKIFLI Mat Daud (dua kanan) menyaksikan inovasi hantaran bola yang dihasilkan pelajar IKTBN Temerloh di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kerajaan menyasarkan peningkatan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030, selaras perubahan landskap ekonomi dan keperluan industri masa hadapan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Timur, Zulkifli Mat Daud berkata, bagi mencapai matlamat itu, 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disasarkan menyertai Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) sebagai laluan kerjaya utama.

Beliau berkata, sehubungan itu, Program Jerayawara UP_TVET 2025 peringkat negeri Pahang dianjurkan sebagai sebahagian usaha mempromosikan kemasukan pelajar ke institusi kemahiran di seluruh negara.

“Sebagai salah satu pusat latihan kemahiran utama di Pahang, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh berperanan penting dalam membekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, selaras dengan keperluan industri semasa dan Revolusi Industri 4.0,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan program berkenaan  di IKTBN Temerloh di sini.

Lebih 250 peserta yang terdiri daripada guru bimbingan, kaunselor serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di bawah Kementerian Pendidikan hadir menjayakan program tersebut.

Menurut Zulkifli, program Jerayawara berkenaan bertujuan memberikan pendedahan dan kefahaman berkaitan penggunaan Portal UP_TVET sebagai platform berpusat memohon kursus TVET yang ditawarkan di seluruh negara.

“Portal ini mengumpulkan pelbagai program latihan yang ditawarkan oleh 12 kementerian dan agensi swasta, sekali gus memudahkan pelajar memilih kursus yang sesuai dengan minat dan kemahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, Portal UP_TVET dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu UP_TVET Perdana dan UP_TVET Fleksibel bagi memberi pilihan sama ada menyertai kursus sepenuh masa atau kursus pendek secara fleksibel.

“Langkah ini bukan sahaja menyelaraskan permohonan pelajar, malah menyokong keperluan tenaga kerja mahir negara yang semakin mendesak dalam pelbagai sektor,” jelasnya.

Program itu juga turut menampilkan pameran pendidikan dan latihan kemahiran oleh pelbagai agensi latihan awam dan swasta yang berlangsung sepanjang hari bagi memberi maklumat terus kepada peserta.

Peserta diberi peluang berinteraksi secara terus dengan wakil institusi TVET, selain menerima taklimat laluan kerjaya, keperluan industri dan potensi gaji selepas tamat pengajian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN