TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas rokok seludup dan elektronik atau vape bernilai lebih RM1.2 juta dalam dua serbuan berasingan di sini semalam.
Rampasan barangan tersebut dilakukan menerusi Op Taring Alpa 3 dan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, serbuan pertama di sebuah bangunan kosong di Pulau Tengkorak di sini pada pukul 12.30 tengah malam pihaknya telah menjumpai 500,000 batang rokok seludup bernilai RM935,000.
Menurutnya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan selanjut.
“Serbuan kedua di sebuah premis di Kampung Chabang Empat, Tok Mek Ngah disini, PGA telah merampas 2,890 unit cecair dan 1,478 peranti vape bernilai RM273,000.
“Pemeriksaan mendapati, premis tersebut beroperasi secara haram dan tidak memiliki lesen. Seorang lelaki berusia 37 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, serbuan tersebut turut disertai anggota penguat kuasa Majlis Daerah Tumpat (MDT)
Katanya, kes mengikut Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019.-UTUSAN