Pertemuan Gay: Kelantan sedia jumpa penganjur, polis

Pertemuan Gay: Kerajaan Kelantan sedia jumpa penganjur, polis

MOHAMED Fadzli Hassan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersedia untuk berjumpa dengan penganjur pertemuan gay serta pihak polis bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung program tersebut yang telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pertemuan itu penting supaya tidak berlaku salah faham dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Kita tidak menolak sebarang pertemuan. Bila-bila masa pun kita bersedia untuk berbincang. Tapi kalau ada program yang menyentuh sensitiviti masyarakat, mestilah terlebih dahulu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan (Jaheaik) dan Jabatan Kesihatan.

“Apa sahaja program yang bertentangan dengan dasar kerajaan negeri, Islam dan tidak selari dengan adat serta budaya masyarakat Kelantan, kita memang tidak boleh terima,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, pada masa sama kerajaan negeri akan melihat sama ada wujud pelanggaran peruntukan dalam Enakmen Kanun Syariah yang menyebabkan penganjur dikenakan hukuman.

“Tapi dua-dua pihak kena bersikap terbuka. Kesilapan yang berlaku mungkin bukan dari pihak penganjur, tetapi oleh individu tertentu. Kita (kerajaan negeri) tidak pernah menyekat pertemuan atau program yang sah, namun lokasi serta masa program perlu diberi perhatian.

“Saya rasa mungkin pemilihan tempat itu tidak kena, di tengah kampung dan berlangsung hingga jam 2 pagi. Ia mencetuskan kecurigaan dan kebimbangan dalam kalangan penduduk, sebab itu ada yang buat laporan kepada polis,” ujarnya.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri menolak budaya songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sejajar dengan dasar pentadbiran serta hukum Islam.

“Dari sudut agama, LGBT jelas salah. Dari segi moral dan sahsiah orang Melayu, ia tidak boleh diterima. Undang-undang negara juga tidak membenarkan. Seperti di Terengganu, kita juga menentang sebarang bentuk LGBT dalam negeri ini.” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Majlis AIDS Malaysia (MAC) menjelaskan pihaknya mengadakan sesi outreach bagi mendekati komuniti berisiko tinggi sebagai pencegahan HIV, di sini pada 17 Jun lalu sebelum diserbu pihak polis.

Majlis yang berlangsung jam 8 malam sehingga 2 pagi itu adalah pendekatan strategik yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perkhidmatan HIV lebih berkenaan, inklusif dan berpaksikan kepada komuniti.

Susulan kenyataan itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, menegaskan serbuan polis terhadap perjumpaan makan-makan LGBT di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, baru-baru ini adalah kerana pihak berkuasa itu mempunyai bukti yang kukuh.

Katanya, serbuan dilakukan hasil risikan polis sebelum serbuan itu dilakukan selain turut mendapat aduan daripada pihak yang berkenaan mengenai aktiviti kumpulan itu.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN