TUMPAT: Seorang lelaki yang disyaki penyeludup lari lintang-pukang selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang membawa 100,000 batang rokok putih ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Bunut Sarang di sini kelmarin.
Serbuan pukul 6 pagi itu dilakukan menerusi rondaan rutin Op Taring Wawasan Kelantan selepas anggota bertugas mengesan sebuah MPV yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, sejurus menahan MPV itu, pemandunya terus bertindak melarikan diri.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai 100,000 batang rokok putih telah ditemukan di dalam MPV berkenaan.
“Kesemua rokok-rokok ini dipercayai untuk dijual ke pasaran tempatan. Anggaran nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM222,000.
“Kes disiasat mengikut Sek 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 108(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN