KUANTAN: Seorang wanita maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Pondok Polis Paya Bungor, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Che Zaiton Ahmad, 54, berasal dari Felda Lepar Hilir 4, Kuantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa dipercayai melanggar seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan.
“Kedua-dua mereka dalam perjalanan dari arah Temerloh menuju ke Felda Lepar Hilir sebelum motosikal terbabit hilang kawalan dan terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, rakan mangsa yang merupakan pembonceng motosikal berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di hospital. – UTUSAN