Pendigitalan bukan lagi pilihan, tapi keperluan - Utusan Malaysia

Pendigitalan bukan lagi pilihan, tapi keperluan

ABD. Gapar Lambak (tiga dari kiri) mengiringi Wan Rosdy Wan Ismail (tunduk, tengah) pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Negeri Pahang Kali Ke-41 di Hotel Grand Darul Makmur di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) merayu seluruh ahlinya dan kontraktor Melayu kelas G1 hingga G7 di seluruh negara supaya menyertai program MyDigital Kontraktor (MDK) yang dilaksanakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Naib Presiden PKMM, Abd. Gapar Lambak berkata, ketika ini, Pendigitalan sudah menjadi keperluan utama bagi kontraktor G1 hingga G7 dalam usaha memperkasa sektor pembinaan negara seiring transformasi digital yang digariskan oleh kerajaan.

Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Pahang berkata, program itu bukan sekadar platform digital tetapi mekanisme penting yang membolehkan kontraktor menonjolkan profil syarikat secara profesional, mengakses sistem e-Tender, dan mematuhi keperluan e-Invois seperti ditetapkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Pendigitalan bukan lagi pilihan pada ketika ini, tetapi ia satu keperluan. Atas sebab itu, kita telah bekerjasama dengan anak syarikat CIDB iaitu CIDB E- Construct Services Sdn Bhd dengan memperkenalkan dan mempromosi program MDK.

“Kita merayu kepada golongan kontraktor terutama ahli PKMM supaya daftar segera dengan program ini. Setakat ini, kita (PKMM) terima lebih 300 permohonan. Menerusi program ini, kita akan mohon geran pendigitalan untuk untuk menampung kos program ini  iaitu selama tiga tahun percuma kepada pemohon yang berjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Negeri Pahang Kali Ke-41 di Hotel Grand Darul Makmur di sini.

Sementara itu, Abd. Gapar berkata, golongan kontraktor tempatan kini mempunyai pilihan dalam usaha mendapatkan pembiayaan yang lebih fleksibel dan berdaya maju menerusi kerjasama PKMM dengan Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth).

Beliau berkata, menerusi kerjasama ini, lebih 60,000 ahli PKMM berpeluang mendapatkan akses kepada fasiliti kewangan yang lebih mudah dan pantas berbanding pinjaman bank konvensional.

“Cabaran mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan konvensional semakin ketara, terutama bagi kontraktor kecil dan sederhana.

“Syarikat perbankan pada ketika ini lebih berhati-hati dalam meluluskan pinjaman kerana mereka menguruskan dana awam. Dengan adanya platform pembiayaan Planworth, proses permohonan menjadi lebih mudah dan cepat, dengan tempoh kelulusan hanya dalam seminggu berbanding tiga bulan melalui bank.

“Kita juga menggalakkan para kontraktor untuk mempertimbangkan program ini dan memanfaatkan peluang ini sebagai alternatif pembiayaan yang ditawarkan. Kita mahu memastikan masalah kewangan tidak lagi menjadi penghalang utama dalam pelaksanaan projek pembinaan,” katanya.

Beliau yakin kerjasama ini akan memberi impak positif kepada industri pembinaan tempatan, khususnya dalam meningkatkan daya saing kontraktor Melayu serta memastikan kelangsungan perniagaan mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Planworth merupakan syarikat yang menawarkan penyelesaian kewangan yang boleh dipercayai, fleksibel dan inovatif kepada vendor serta penyedia perkhidmatan dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta merentasi pelbagai industri.

Selain berdaftar dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan ePerolehan, Planworth juga menyediakan kemudahan pembiayaan pantas kepada pembekal serta penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN